NGO, AMK kecam keganasan, jenayah perang rejim Israel


Gabungan NGO dan Biro Pendidikan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengecam keganasan berterusan rejim Israel yang mengebom Semenanjung Gaza masuk hari ke 13 hari ini.
Menurut kenyataan bersama NGO dan AMK itu, rakyat Palestin tidak sewajarnya terus menerus dibunuh dan menanggung kesensaraan angkara kekejaman rejim Zionis.
"Kami, dalam gabungan ingin menyuarakan solidariti kami terhadap rakyat Palestin yang telah menanggung penindasan dalam tempoh panjang oleh kerajaan Israel.
"Menyaksikan keganasan yang terbaru, termasuk serangan ke atas Gaza, pemindahan keluarga Palestin dari Sheikh Jarrah, dan peristiwa di kompleks Masjid Al-Aqsa. Kami berdiri teguh bersama warga Palestin dalam usaha menegakkan hak dan keadilan mereka.
"Kami menolak dengan tegas penggunaan kuasa yang melampau oleh tentera dan polis Israel terhadap penduduk Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang telah mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan," kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut juga menolak usaha rejim Israel mahu mengusir penduduk di Gaza dengan memberi kata dua berpindah ke selatan sebelum serangan darat dimulakan.
Mereka juga menolak tindakan rejim sebelum ini yang merampas tanah penduduk Palestin secara ganas.
"Demi keadilan dan keamanan, kami menolak sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan tanah serta penyingkiran etnik yang telah digunakan untuk mengusir rakyat Palestin dari tempat kediaman mereka.
"Tindakan-tindakan ini bukan hanya satu pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, tetapi juga hak asasi manusia, dan ia wajib dihentikan serta-merta. Kami menyeru kerajaan Israel menghentikan segala bentuk keganasan terhadap Palestin.
"Kami berdiri dengan teguh dalam solidariti bersama Palestin dan menyeru agar seluruh komuniti terus menunjukkan sokongan dalam usaha Palestin mencapai kebebasan," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh beberapa pimpinan NGO seperti Nur Aina Abidah, Enlight; Kiran Raj Sathivel, Dewan Belia India Malaysia; Ammar Pauzi, Kelab Belia Madani Penanti; Asrat, Aspirasi Rakyat Malaysia; Lee Yee Shawn, Gerakan Guaman Rakyat dan Muhammad Azha Salahudin, Biro Pendidikan AMK Malaysia




Comments