Negeri Sembilan bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM640 Juta
- Suara Keadilan

- 22 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Sembilan pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM640 juta, dengan anggaran hasil RM610 juta.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan belanjawan bertemakan 'Belanjawan MADANI Rakyat Harmoni' itu berkata, anggaran perbelanjaan pembangunan RM150 juta akan diagihkan bagi sektor sosial sebanyak RM73.86 juta, pentadbiran (RM26.98 juta), infrastruktur (RM22.39 juta), pertanian (RM12.19 juta), kerohanian (RM9.88) juta dan pelancongan (RM4.70 juta).
"Belanjawan memberi fokus kepada sembilan bidang tumpuan iaitu kemampanan ekonomi, keterjaminan makanan, pendidikan, pemerkasaan komuniti serta kerohanian dan agama.
"Bidang tumpuan lain ialah pemerkasaan wanita, belia dan sukan; pelancongan, adat dan budaya; kelestarian alam sekitar serta kebajikan dan kesihatan," katanya dipetik di Dewan Undangan Negeri Sembilan di Seremban.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sikamat juga memaklumkan, 23 inisiatif baharu akan diperkenalkan, dan 46 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik.
"Ia menjadikan jumlah keseluruhan inisiatif berfokuskan rakyat dalam Belanjawan 2026 sebanyak 69 inisiatif dengan peruntukan berjumlah RM112.80 juta," tambahnya.
Sementara itu Aminuddin turut memaklumkan, kutipan hasil setakat bagi tahun 2025 telah mengatasi kutipan hasil keseluruhan bagi 2024 iaitu sebanyak RM655.8 juta atau 111 peratus.
"Kedudukan rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri juga berada pada satu kedudukan yang kukuh iaitu RM897 juta sehingga 5 Dis, 2025.
"Ini merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan. Kita menjangkakan lebihan akan lebih meningkat menjelang 31 Dis, 2025 nanti," katanya









Comments