Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan mengutamakan rakyat, yang belum pernah dilakukan sebelum ini terhadap negeri negeri pembangkang.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin, walaupun dikecam hebat oleh Perikatan Nasional dalam segala hal, namun PM tetap menghulurkan tangan persahabatan dengan keempat empat negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
"Walaupun dikecam dan difitnah dengan pelbagai tuduhan oleh penyokong dan pemimpin PN, Kerajaan Perpaduan tetap melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai kerajaan yang stabil demi menjaga kebajikan dan keharmonian rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
"Bukan itu sahaja, negeri yang dipimpin oleh Perikatan Nasional juga turut mendapat manfaat serta dibantu oleh Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama memakmurkan negara demi pembangunan rakyat setempat.
"Buktinya, bencana banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur dibantu dari segi baik pulih oleh Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Naib Ketua Unit Pendidikan AMK Malaysia itu lagi, atas keprihatinan Kerajaan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peruntukkan sebanyak RM11.5 juta untuk Kelantan bagi menaik taraf empat sistem saliran bagi mengelakkan banjir besar pada masa hadapan.
Kerajaan Perpaduan juga, katanya, telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada negeri Terengganu bagi membantu mangsa yang kehilangan harta benda dan tempat tinggal akibat bencana banjir yang berlaku tahun lalu.
"Jadi desas-desus yang mengatakan bahawa negeri yang ditadbir oleh PN telah dianaktirikan oleh Kerajaan Perpaduan hanyalah omong kosong dan tuduhan yang tidak berasas malah bertujuan memburukkan reputasi Kerajaan Perpaduan semata mata.
"Seharusnya pemimpin PN perlu menjadi pembangkang yang lebih berkualiti, sebagai agen semak dan imbang serta berhenti daripada terus menggunakan sentimen kaum dan agama bagi mendapatkan sokongan rakyat," katanya lagi.
Untuk rekod, 3 daripada 4 negeri pembangkang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan pada Ogos ini dan kempen pilihanraya amat menjurus kepada isu isu yang gagal ditangani oleh pentadbiran PN di 3 negeri berkenaan.
Comments