Negeri dianak tiri tidak berasas, peruntukan ikut keperluan rakyat - PM
- Helmi Mohd Foad
- 3 minutes ago
- 2 min read

Dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan berlaku tidak adil atau meminggirkan negeri tertentu dalam penyaluran peruntukan adalah tidak berasas, demikian tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, semua negeri menerima peruntukan lebih tinggi berbanding sebelumnya serta berdasarkan keperluan semasa khususnya bagi projek melibatkan rakyat seperti tebatan banjir, infrastruktur, kemudahan asas dan usaha menangani kemiskinan.
"Peruntukan tidak boleh dilihat semata-mata berdasarkan jumlah hasil cukai yang dikutip kerana kerajaan turut mengambil kira tahap keperluan dan cabaran setiap negeri.
"Semua negeri perolehi peruntukan yang lebih ketimbang sebelumnya dan juga ketimbang purata hasil cukai melainkan Selangor dan Pulau Pinang," katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (Sri Aman-GPS) mengenai dakwaan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri tidak setimpal dengan hasil yang dikutip ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan Selangor dan Pulau Pinang berbeza berikutan kedua-dua negeri mempunyai kedudukan ekonomi yang lebih strategik serta kutipan hasil yang tinggi.
Beliau memberi contoh bagi tempoh 2023 hingga 2025, purata hasil cukai Kerajaan Persekutuan daripada Selangor adalah RM43.6 bilion manakala peruntukan yang dibelanjakan untuk negeri itu sekitar RM15 bilion.
Bagi Pulau Pinang pula, katanya purata hasil yang diperoleh ialah RM10.7 bilion dengan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM7.9 bilion dalam tempoh sama.
Anwar turut menyenaraikan beberapa negeri lain termasuk Kelantan, Kedah, Terengganu, Perlis dan Johor yang menerima peruntukan lebih besar berbanding hasil cukai yang dikutip.
Katanya, bagi Kelantan, purata hasil 2023 hingga 2025 ialah RM946 juta, manakala perbelanjaan Kerajaan Persekutuan mencecah RM8.9 bilion.
"Untuk Kedah, RM3.7 bilion purata hasil yang diperolehi, perbelanjaan ialah RM9.5 bilion. Terengganu pula RM1.2 bilion, kita tambah RM1.2 bilion lagi daripada hasil minyak, perbelanjaannya RM7.8 bilion," katanya.
Bagi Perlis, hasil yang diperoleh ialah RM419 juta dengan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.2 bilion.
Untuk Johor pula, Anwar berkata negeri itu merekodkan hasil sekitar RM14 bilion, manakala perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh sama adalah RM16 bilion.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan kepada negeri-negeri berkenaan dibuat berdasarkan keperluan mendesak termasuk projek tebatan banjir, naik taraf lebuh raya, pembinaan jalan baharu, kemudahan saliran, bekalan air serta pembangunan infrastruktur asas.
Katanya, kerajaan turut menambah beberapa bentuk pemberian termasuk Ecological Fiscal Transfer (EFT), pemberian tahap dan geran kapitasi yang diumumkan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan.
Anwar menegaskan, pentadbiran Kerajaan MADANI merekodkan peruntukan tertinggi kepada beberapa negeri termasuk Kedah, Terengganu dan Kelantan berbanding pentadbiran sebelumnya.
"Saya harap penjelasan ini akan dengan sedikit memadamkan tohmahan dan fitnah yang tidak berasas," katanya.
Beliau berkata, kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk pembangunan infrastruktur, sekolah serta kemudahan untuk masyarakat miskin dan terpinggir.
"Tidak benar sama sekali tohmahan bahawa negeri-negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan," katanya lagi.
