Negara perlukan pekerja tekun, ikhlas, penuh iltizam - PM
- Suara Keadilan
- May 1
- 2 min read

Negara amat perlukan pekerja yang tekun melaksanakan tugas, ikhlas dan penuh iltizam bagi meningkatkan produktiviti.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan demikian dalam amanat khas sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Menurut beliau, hanya pekerja yang dedikasi mampu meningkatkan produktiviti negara di tengah tengah ketidaktentuan situasi ekonomi global.
"Negara ini masih berdepan pelbagai cabaran. Hari-hari kita dihadapkan dengan isu besar seperti krisis di Palestin dan ketidaktentuan global, termasuk tindakan sesuka hati kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
"Namun, kita tetap mampu mara jika semua bekerja dengan tekun, ikhlas dan penuh iltizam. Tidak kira sektor mana, pekerja yang berpegang kepada nilai keikhlasan dan kepercayaan kepada negara pasti menyumbang kepada pembentukan negara hebat," katanya dipetik Bernama.
Kerajaan Madani juga, kata PM, tidak membenarkan unsur perpecahan yang berpunca daripada perbezaan kaum dan fahaman politik yang terus menghantui negara, seterusnya mengekang produktiviti dan perkhidmatan yang dihasilkan pekerja.
"Saya dan kerajaan komited untuk membela nasib semua pekerja walaupun majoritinya dalam kalangan orang Melayu, nasib anak-anak Cina, India, Dayak dan Kadazan-Dusun juga tidak boleh dipinggirkan. Jangan hanya santuni golongan atasan, tetapi wajib semua pekerja pelbagai peringkat hingga bawahan.
"Hari-hari kita membaca berita tentang perselisihan antara kaum, ini tidak akan membawa kita ke mana. Sebaliknya, kefahaman, perpaduan dan semangat kebersamaan antara rakyat pelbagai kaum adalah kunci untuk membawa negara ke arah kemajuan yang lebih besar," ujarnya.
Dalam majlis pagi tadi juga PM melancarkan kad Pekerja Madani dan Aplikasi telefon pintar MyFutureJobs.
Sambutan tahun ini Bertemakan 'Pekerja Kesuma Bangsa' dan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 pekerja awam dan swasta daripada pelbagai sektor.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; barisan Menteri Kabinet, ketua setiausaha kementerian serta ketua-ketua agensi.
Pada sambutan tahun ini, Bernama menerima Anugerah Media Terbaik (Agensi) selain penyampaian 12 anugerah bagi kategori pekerja, majikan, kesatuan, media dan kontinjen.
Buat julung kalinya lagu khas bertajuk 'Solidariti Perjuangan' nukilan Steven diperdengarkan sebagai penghargaan kepada golongan pekerja.
コメント