top of page

Negara membangun kuasa bermaruah, miliki kekuatan sendiri - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 6
  • 2 min read

PM Anwar diberi penghormatan berpidato di majlis pembukaan Forum Perniagaan BRICS. Foto Albarra Azfar
PM Anwar diberi penghormatan berpidato di majlis pembukaan Forum Perniagaan BRICS. Foto Albarra Azfar

Tantanan baharu dunia seharusnya menganggap negara membangun sebagai kuasa baharu ekonomi dan bukan negara lemah atau bekas tanah jajahan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam ucapan pembukaan pentas Forum Perniagaan BRICS di Rio De Janeiro, Brazil semalam.


Anwar mendapat penghormatan bersama pemimpin tuan rumah, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva membuka pentas forum ekonomi tersebut.


"Saya tegaskan dengan penuh keyakinan bahawa negara-negara membangun tidak lagi wajar dianggap sebagai pemain pinggiran dalam sistem global. Kita bukan sekadar pewaris sejarah pasca penjajahan. Kita kini bangkit sebagai kuasa bermaruah yang memiliki kekuatan tersendiri dalam teknologi, perdagangan, kepimpinan dan suara moral dunia.


"Saya merakamkan penghargaan kepada Presiden Lula atas kepimpinan beliau yang berani dan berprinsip. BRICS hari ini melangkaui retorik politik.


"Ia adalah gabungan kuasa politik, ekonomi dan masyarakat sivil yang bergerak seiring dalam menuntut sistem global yang lebih adil dan saksama," katanya dalam muat naik di Facebook.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva (kanan) memberi sambutan hangat kepada PM Anwar
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva (kanan) memberi sambutan hangat kepada PM Anwar

Menurut Anwar, keunikan kerjasama antara kerajaan BRICS yang beliau sertai adalah melibatkan penyertaan aktif sektor swasta, wanita, belia dan masyarakat madani, menjadikan BRICS bukan sekadar wacana elit tetapi gerakan kolektif yang inklusif dan berdaya tahan.


Manakala sebagai Pengerusi ASEAN, katanya, Malaysia berkongsi aspirasi tersebut. Negara Asia Tenggara, kata beliau, memperjuangkan multilateralisme, memperkukuh perdagangan intra ASEAN dan mempelopori penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan sebagai langkah konkrit ke arah sistem kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral.


"Anggota BRICS dan ASEAN juga perlu terus mempererat kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun.


"Saya turut menyeru reformasi besar-besaran terhadap institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia agar lebih mencerminkan realiti semasa dan keperluan negara membangun, bukan terperangkap dalam struktur usang pasca Perang Dunia Kedua," katanya lagi.


Tegas Anwar, BRICS 2025 bukanlah sekadar kesinambungan usaha lalu sebaliknya detik kebangkitan baharu.


Dengan kepimpinan politik yang berwawasan, ujar beliau, sektor swasta yang progresif dan perpaduan Selatan Global yang kian kukuh, negara membangun punya peluang sebenar untuk membentuk semula landskap global.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page