top of page

Melayu hilang kuasa: Tun M punca Melayu berpecah belah - Lokman

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 11 hours ago
  • 2 min read

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menjadi sasaran kecaman apabila mengeluarkan kenyataan berkaitan kegagalan beliau ‘menyatukan’ orang Melayu meskipun mendakwa telah berusaha lebih dua tahun ke arah itu.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, dalam dua tahun Tun M mahu 'menyatukan' orang Melayu tersebut, malangnya ke mana sahaja beliau pergi perpecahan yang tercetus.


"Beliau memecahkan parti, melagakan pemimpin sesama sendiri dan terus meracuni landskap politik dengan serangan tidak berkesudahan terhadap UMNO.


"Kini beliau berkata orang Melayu mungkin ‘kehilangan negara’ kerana terlalu mengutamakan pemimpin berbanding bangsa dan agama.


"Itulah politik klasik Mahathir, politik ketakutan dan ugutan emosi. Skrip lama yang sama digunakan setiap kali pengaruh politiknya semakin merosot," katanya dalam satu kenyataan.


Lokman berkata, Mahathir boleh bercakap mengenai perpaduan Melayu hari ini, namun sejarah akan mengingati bahawa beliau sendiri menghabiskan bertahun-tahun menyerang institusi yang menjadi tunjang kekuatan politik Melayu.


Beliau berkata, Mahathir berkali-kali cuba meyakinkan orang Melayu bahawa UMNO sudah tidak boleh diselamatkan, sedangkan beliau sendiri gagal menawarkan pengganti yang stabil selain kekacauan politik.


Malah ujarnya, sehingga hari ini pada usia sebegitu Mahathir masih tidak mampu melepaskan obsesinya untuk melihat UMNO terkubur.


"Obsesi itu kini menjadi misi politik terakhirnya, bukan untuk membina semula orang Melayu atau mengukuhkan negara tetapi untuk menyelesaikan dendam lama hingga ke akhir hayat.


"Ironinya amat pahit. Individu yang hari ini bercakap tentang survival Melayu sebenarnya antara tokoh paling besar yang menyumbang kepada perpecahan politik Melayu.


"Beliaulah yang mencipta kem-kem politik, menyuburkan kebencian dan menormalisasikan pengkhianatan apabila ia menguntungkan agendanya.


"Pengakuan beliau hari ini bukan sesuatu yang berani. Ia sebenarnya sudah terlalu lewat. Orang Melayu sudah lama memahami kerosakan yang berlaku.


"Mahathir gagal bukan kerana orang Melayu menolak perpaduan tetapi kerana mereka menolak politik toksik yang disamarkan atas nama perpaduanm," bidas Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia.


Semalam, Mahathir yang juga Mantan Ahli Parlimen Langkawi menerusi satu hantaran di Facebook menyatakan beliau telah berusaha lebih dua tahun untuk menyatukan orang Melayu namun gagal.


Oleh itu katanya negara tercinta ini akan terlepas dari tangan orang Melayu dan berakhir sejarah orang Melayu kerana mereka lebih mengutamakan nasib pemimpin dari bangsa, negara dan agama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page