Naratif basi Tun M: Rakyat sudah matang, jangan gugat kestabilan
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibidas apabila dilihat cuba menggugat kestabilan negara dengan memainkan naratif lama dan basi yang telah ditolak oleh rakyat.
Ketua Cabang KEADILAN Tenggara, Fakharuddin Moslim menyifatkan kenyataan terbaharu Tun Mahathir dalam ucapannya di Alor Setar, Kedah baru-baru ini tidak lagi dipercayai oleh rakyat yang telah matang dan menolak politik dendam serta ulangan skrip lama.
"Tun (Mahathir) jangan sempitkan suara satu ceramah di Alor Setar sebagai suara seluruh rakyat Malaysia. Tun sendiri ditolak di Langkawi pada PRU15, malah kalah dengan majoriti besar," katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu sebagai menyanggah tindakan Dr Mahathir yang mengkritik kepimpinan Kerajaan Madani termasuk mempersoalkan kelayakan moral dan politik Perdana Menteri semasa.
Fakharuddin turut mempertahankan kesahihan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menegaskan bahawa sistem demokrasi berparlimen menetapkan sesiapa yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat layak menjadi Perdana Menteri.
"Tun pernah menjadi PM tanpa menang majoriti. Malah selepas PRU14, Tun kumpulkan ahli politik lompat parti demi mengukuhkan kedudukan," ujarnya.
Mengenai dakwaan pengampunan diraja terhadap Anwar sebagai tidak sah, Fakharuddin mengingatkan bahawa kuasa tersebut adalah di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan keputusan itu dibuat ketika Dr Mahathir sendiri menjadi Perdana Menteri.

"Jika tidak sah, mengapa Tun sendiri yang membawa cadangan pengampunan itu kepada YDPA? Jangan cuba lari daripada tanggungjawab yang pernah dipikul," ujar beliau.
Beliau juga menyelar cubaan Dr Mahathir menggambarkan reformasi sebagai suatu kegagalan atau jenaka politik.
"Reformasi bukan jenaka. Ia sedang berjalan, walaupun perlahan kerana sistem yang rosak ditinggalkan oleh pentadbiran Tun. Kalau masa Tun perintah, mungkin ya, reformasi hanya jenaka. Manifesto bukan kitab suci, bukankah itu kata Tun dulu?" sindirnya.
Fakharuddin seterusnya mengingatkan rakyat tentang amalan nepotisme dan kronisme yang berleluasa sewaktu pentadbiran Dr Mahathir serta tindakan bekas PM itu yang menurutnya memperalatkan institusi undang-undang demi kepentingan politik.
"Apa yang ditakutkan sangat dengan Anwar Ibrahim? Dunia tahu sejarah Tun dan bagaimana sistem digunakan untuk menjatuhkan musuh politik
"Rakyat semakin penat dengan politik lama (Tun). Sekarang masa untuk kita perkuat kestabilan, bukan gugat dengan fitnah dan dendam lama yang berulang," katanya lagi.









Comments