Najwan ketuai delegasi 23 usahawan Selangor sertai CIIE 2025 di China
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Exco Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Najwan Halimi, mengetuai delegasi negeri Selangor ke China International Import Expo (CIIE) 2025, edisi ke-9 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang, hari ini. Ekspo perdagangan antarabangsa berprestij itu berlangsung di Shanghai dari 5 hingga 10 November 2025.
Menurut Najwan, penyertaan kali ini melibatkan 23 usahawan negeri Selangor, termasuk 10 usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
"Penyertaan ini merangkumi 10 usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan 13 usahawan di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kos penyertaan bagi setiap ruang pameran (booth) yang ditawarkan oleh MATRADE berjumlah RM20,000. Namun, bagi memastikan lebih ramai usahawan tempatan berpeluang menembusi pasaran antarabangsa, Kerajaan Negeri Selangor bersama 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah bersetuju menanggung 90 peratus kos penyertaan bagi 13 usahawan yang terlibat.
"Dengan inisiatif ini, usahawan hanya perlu membayar RM2,000 untuk menyertai ekspo perdagangan antarabangsa ini," ujar Najwan.
Turut serta dalam misi perdagangan ini ialah Pegawai Perhubungan Usahawan (PPU) yang mewakili 12 PBT seluruh Selangor serta Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, yang menjadi pelaksana inisiatif Platform Selangor (PLATS).
Penglibatan MBI dalam ekspo kali ini juga bertujuan meneroka peluang kerjasama baharu melalui program U-PLATS Expand, yang memberi tumpuan kepada peluasan pasaran antarabangsa untuk usahawan negeri Selangor.
"Langkah penyertaan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan, memperluas peluang eksport produk tempatan ke pasaran antarabangsa, serta memperkasakan jenama usahawan Selangor di pentas global," tambah beliau.





