
Keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak bersalah di atas pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram adalah kemenangan kepada institusi kehakiman yang mula dibebaskan sebaik sahaja BN kalah pada pilihan raya umum ke 14 lalu.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin, keputusan ini juga merupakan kejayaan manis kepada perjuangan rakyat menentang kleptokrasi yang digerakkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim seawal 2011, lewat kenyataan beliau di Dewan Rakyat membongkar kebejatan Najib dan 1Malaysia Development Berhad.
"Penerangan KEADILAN menyambut baik keputusan mahkamah mensabitkan salah terhadap Datuk Seri Najib dalam 7 pertuduhan yang dihadapinya.
"Ini sebenarnya jumlah kecil daripada banyak lagi kes melibatkan Najib, terutamanya 1MDB yang telah mula dibangkitkan oleh KEADILAN, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun 2011 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.
"Keputusan hari ini juga dicapai melalui kebebasan sistem kehakiman, prinsip yang diperjuang dan menjadi sebahagian asas penubuhan KEADILAN.
"Kita akan terus berjuang memastikan reformasi institusi dilaksanakan dan dipertahankan serta terus menambah baik persekitaran demokratik seiring dengan tata kelola kerajaan yang baik," kata Shamsul dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, terhukumnya Najib juga membuktikan tuduhan Umno-BN selama ini kononnya Pakatan Harapan (PH) menabur fitnah dan kemudian sengaja menzalimi Najib dengan pendakwaan berbaur politik terjawab dengan sendirinya, sewaktu PH tidak lagi boleh ditohmah campurtangan dalam perundangan.
"KEADILAN, bersama rakan-rakan di blok pembangkang percaya rakyat kini sudah tidak boleh dimomokkan dengan pelbagai ancaman dan fitnah.
"Kami akan terus bersama dan berikhtiar mengembalikan mandat rakyat untuk membolehkan reformasi menyeluruh dilaksanakan di segenap peringkat.
"Kami yakin rakyat mahukan reformasi dan akan terus menyokong pemimpin dan parti yang komited dengan agenda ini," kata Shamsul lagi.
Najib tengah hari tadi didapati bersalah ke atas kesemua 7 pertuduhan membabitkan membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), anak syarikat 1MDB.