Naikkan bantuan wang ihsan mangsa banjir kepada RM10,000
- Omar Zin
- Jan 1, 2022
- 1 min read
Kerajaan digesa menaikkan bantuan wang ihsan untuk mangsa banjir daripada RM1,000 kepada RM10,000 selepas mengambil kira situasi yang dialami ketika ini.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Thiban Subbramaniam berkata, bantuan kepada keluarga waris korban banjir pula perlu dinaikkan kepada RM50,000 berbanding RM10,000 untuk membantu memulihkan kehidupan mereka.
“Saya menggesa kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob menaikkan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir daripada RM1,000 kepada RM 10,000.
“Ini kerana mangsa banjir berhadapan situasi total lost dan terpaksa memulakan semuanya dari 0. Apakah bantuan wang ihsan RM1,000 itu memadai?
“Kerajaan juga harus menyediakan bantuan khas buat peniaga kecil, petani, penternak yang mengalami kerosakan serius dan hilang pendapatan mereka,” katanya.
Tambah Thiban, kerugian yang ditanggung setiap keluarga mangsa banjir mencecah sekurang-kurangnya RM30,000 hingga RM50,000, tanpa mengambil kira kerugian ditanggung usahawan kecil, pemandu lori, petani dan penternak.
“Apakah bantuan yang diumum Ismail itu realistik untuk bantu mereka? Kerajaan Ismail tidak boleh melepaskan tangan begitu sahaja.
“Ini bukan bala dari tuhan, ini berpunca daripada kegagalan kerajaan Ismail menangani bencana banjir besar ini,” katanya.
Beliau menyifatkan kenyataan Ismail bahawa keluarga mangsa banjir akan menerima bantuan sehingga RM10,000 sebagai langkah pemulihan pasca banjir sebagai “kenyataan manis mulut” semata-mata.
Katanya, tragedi banjir dapat dielakkan jika kerajaan mengambil serius gesaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pada Julai lalu berhubung persiapan menghadapi fenomena banjir.
“Jika kerajaan Ismail masih gagal berbuat demikian, maka saya ingin memohon Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Harapan membatalkan MoU dengan kerajaan. Apa gunanya ada kerajaan yang tidak mampu menyelamatkan rakyat?” soalnya.
Comments