Oleh: Helmi Mohd Foad
Desakan beberapa kali Ketua Pembangkang agar Kerajaan Negeri mengumumkan tarikh kenaikan tarif bekalan air hanya satu perangkap, kata Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar menjelaskan beliau sedar taktik Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang mahu kenyataannya bahawa tarif bekalan air di Selangor akan naik pada tahun depan menjadi satu berita yang dilaporkan pihak wartawan.
"Dia (Azmin) nak trap (perangkap) nak masuk berita sebab ucapan dia tak masuk berita, dia nak masuk berita dia cakap air Selangor nak naik," katanya sambil tersenyum ketika beberapa kali diprovokasi mengenai kenaikan tarif air dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin yang kelihatan bersahaja membalas 'usikan' Azmin itu dengan menyatakan bahawa secara objektif semua negeri bersetuju dengan pelan kenaikan tarif bekalan air yang mana ia bukan sahaja terbeban kepada Selangor malah juga negeri lain.
"...tetapi dengan simpanan kita akan pertimbangankan banyak (kenaikan tarif) tetapi kita belum membuat keputusan bila tarikh nak naik sebab jadual ditetapkan oleh menteri," katanya.
Amirudin menjelaskan sehingga kini kerajaan tidak mempunyai tarikh tertentu untuk mengumumkan kenaikan tarif air sehinggalah suku kedua tahun hadapan.
Katanya perkara itu telah dipersetujui oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri termasuk di negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN).
"Kita tidak ada tarikh lagi, mengikut jadualnya sekitar enam bulan pertama tahun hadapan, tiap-tiap tahun begitulah jawapannya daripada zaman (Menteri Air) Xavier (Dr Xavier Jayakumar) dan Tuan Ibrahim Tuan Man," kata Amirudin.
Tambahnya semua perkara membabitkan kenaikan tarif diputuskan di peringkat pusat selepas persetujuan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Jelas beliau melalui penguatkuasaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia), semua perkara membabitkan pengendalian syarikat bekalan air negeri mesti dilaporkan kepada SPAN termasuk program penggantian paip lama dan proses penyelenggaraan.
Katanya, Kerajaan Negeri meletakkan sasaran kadar air tidak mendatangkan hasil (NRW) mencapai kadar bawah 30 peratus yang dihasil melalui penggantian paip lama secara berterusan sejauh 300 kilometer pada tahun depan.
Terdahulu Azmin mendesak Amirudin mengumumkan tarikh berlaku kenaikan tarif air memandangkan sasaran negeri mahu mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) sebanyak 25 peratus menjelang 2025 dan 15 peratus pada 2049 yang dijangka memakan pelaburan sejumlah RM35 bilion.
"Saya percaya dengan keadaan kewangan yang kritikal kita tidak ada pilihan naikkan tarif, boleh ke setuju akan naikkan kadar tarif ini dalam masa terdekat," ujarnya.
Dr Gunarajah R George (PH-Sentosa) turut bangun mencelah dan bertanya adakah cara soalan Azmin itu menunjukkan Ketua Pembangkang bersetuju dengan kenaikan tarif air.
Comments