Naik taraf Terminal Bas KL Sentral, tingkatkan keselamatan pengguna - Ahli MPP
- Suara Keadilan

- Aug 6
- 2 min read

Kerancakan pertumbuhan ekonomi Malaysia memerlukan negara menaiktaraf terminal pengangkutan awamnya menjadi sebagai yang terbaik di Asia Tenggara.
Antara yang perlu diberi tumpuan khusus adalah Terminal Bas di KL Sentral yang tidak pernah diubahsuai sejak beroperasi dua dekad lalu biarpun menjadi pintu masuk utama pelancong dan pedagang ke kota metropolitan Kuala Lumpur.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Abang Zulkifli Abang Engkeh yang kerap menggunakan terminal tersebut setiap kali ke ibu negara, terminal tersebut katanya tidak selesa malah kurang selamat kepada pengguna.
"Saya antara rakyat Malaysia yang sering berulang alik menggunakan penerbangan tambang murah Kuching-Kuala Lumpur , telah lama memerhati keadaan di Terminal Bas KL Sentral yang terletak di tingkat bawah NU Sentral, yang bukan saja tidak ceria, malah tidak selamat.
"Sebuah tempat yang berhawa panas dan sempit dan sepanjang masa diseliputi asap bas dan kenderaan lain yang lalu lalang.

"Justeru Kerajaan disaran menaik taraf terminal tersebut menjadi lebih elok dan selamat. Contoh seperti yang terdapat di Terminal Bas KLIA 1, itu sudah memadai. Dilengkapi dengan tempat menunggu yang agak selesa dan selamat," katanya dalam kenyataan.
Tegas beliau, bagi orang yang tidak menggunakan perkhidmatan bas terminal tersebut kelihatan moden pada luarannya.
"Mungkin bagi sesetengah orang, ini bukan keutamaan tetapi bagi yang terpaksa berjimat, itulah pilihan utama mereka.
"Kecekapan pengangukutan yang berselang 30 minit bersilih ganti didapati sangat membantu dan harus dipuji namun keadaan yang tidak ceria dan selamat itu harus diberi perhatian," kata beliau.
Sehubungan itu, Abang Zulkifli menyarankan agar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke turun padang dan mengarahkan satu kajian lengkap dijalankan bagi meningkatkan kualiti keceriaan di Terminal Bas KL Sentral tersebut.
"Saya menyaran supaya Yang Berhormat Menteri Pengangkutan meninjau sendiri di terminal ini untuk mendapat gambaran yang lebih jelas dan tepat.
"Saya tidak ada data berapa ramai penumpang yang menggunakan laluan tersebut tetapi saya boleh mengaggak, sangat ramai," katanya lagi.
KL Sentral mula beroperasi pada 16 April 2001, menggantikan Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang lama sebagai stesen kereta api utama di bandar itu. Pada waktu ini fungsi KL Sentral lebih meluas dengan menggabungkan perkhidmatan teksi, monorel, KLIA Ekspres dan sebagainya.









Comments