Naik taraf RM17.5 juta jalan sekitar Sepang menjelang F1 Bahrain GP Malaysia
- Helmi Mohd Foad
- 22 hours ago
- 3 min read

Kerja-kerja menaik taraf jalan di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini dipergiat susulan peruntukan keseluruhan RM17.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai persediaan menjelang penganjuran F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 pada Oktober depan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sepang memaklumkan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM16 juta bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan melibatkan laluan FT26, FT27, FT29 dan FT344 manakala Kerajaan Negeri Selangor menyediakan RM1.5 juta bagi kerja menaik taraf Jalan Negeri B48 (Jenderam–Sepang).
Menurut JKR, kerja-kerja tersebut merangkumi pembaikan permukaan jalan, penyenggaraan perabot jalan serta lampu jalan bagi memastikan semua laluan utama ke Litar Antarabangsa Sepang berada dalam keadaan terbaik sebelum perlumbaan berlangsung.
"Kerja-kerja ini adalah merangkumi kerja-kerja pembaikan permukaan jalan, perabot jalan serta lampu jalan.
"Pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhati-hati kerana kerja-kerja pembaikan akan rancak dijalankan serta perlu disiapkan sebelum acara F1 berkenaan bermula," kata hantaran JKR Daerah Sepang melalui Facebook.
Kerja-kerja naik taraf tersebut melibatkan Jalan Persekutuan utama dari persimpangan Lebuhraya ELITE (E6) menuju KLIA (FT26) yang merupakan laluan masuk utama ke lapangan terbang dan Jalan Lingkaran Luar KLIA (KLIA Outer Ring Road) yang menghubungkan kawasan KLIA, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan rangkaian jalan sekitar lapangan terbang (FT27).
Terlibatkan laluan FT29 iaitu Jalan Persekutuan di koridor KLIA – Sepang – Nilai yang menjadi laluan penting ke lapangan terbang dan kawasan sekitar SIC.
FT344 pula ialah Jalan KLIA East Road (Jalan Kuarters KLIA) yang menghubungkan persimpangan SIC di FT27 dengan kawasan Kuarters KLIA. Laluan ini juga menjadi akses ke Bandar Enstek, Labu dan Nilai.
Jalan Negeri B48 pula adalah Jalan Jenderam–Sepang iaitu jalan negeri sepanjang kira-kira 24 kilometer menghubungkan Jenderam di utara dengan Pekan Sepang di selatan.
Laluan ini melalui beberapa kawasan utama seperti Jenderam, Salak Tinggi, Bandar Enstek sebelum memasuki Pekan Sepang. Ia merupakan antara laluan alternatif penting selain Lebuhraya ELITE dan sering digunakan penduduk tempatan untuk ke KLIA, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Bandar Enstek dan Nilai.
Bagi kerja di Jalan Negeri B48, JKR turut mengeluarkan notis penutupan sementara sebahagian laluan Jalan B48 (Jenderam–Sepang) melibatkan Seksyen 15.00 hingga Seksyen 20.00 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penurapan semula jalan.
Kerja tersebut dijadual berlangsung dari 3 hingga 7 Ogos 2026 bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi setiap hari bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya pada waktu puncak.
"Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi papan tanda keselamatan dan arahan pengawal trafik, mengurangkan had laju ketika melalui kawasan kerja, menggunakan laluan alternatif jika perlu serta sentiasa mengutamakan keselamatan berikutan kemungkinan berlaku kesesakan dan kelewatan perjalanan sepanjang tempoh pelaksanaan projek," kata JKR Sepang dalam satu notis pada 3 Ogos lalu.
Selain menjadi persediaan menjelang perlumbaan Formula Satu, kerja-kerja naik taraf infrastruktur itu turut memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk sekitar Sepang khususnya pengguna harian laluan Jenderam–Sepang yang bakal menikmati permukaan jalan lebih selamat dan selesa, pencahayaan jalan yang lebih baik serta kemudahan jalan raya yang dipertingkatkan selepas projek siap sepenuhnya.
JKR turut memaklumkan satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada 31 Julai lalu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memastikan semua kerja naik taraf dapat disiapkan mengikut jadual sebelum perlumbaan berlangsung.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 selepas Bahrain bersetuju agar perlumbaan itu dipindahkan ke Sepang susulan konflik dan situasi keselamatan yang tidak menentu di Asia Barat.
Menurut beliau, kerajaan meluluskan peruntukan RM16 juta bagi menaik taraf infrastruktur jalan dan kemudahan berkaitan di sekitar Sepang sebagai persediaan menerima pasukan perlumbaan, pegawai, pelancong serta peminat sukan permotoran dari seluruh dunia.
Penganjuran perlumbaan yang dijadual berlangsung pada Oktober depan itu bukan sahaja dijangka merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negara, malah meninggalkan legasi penambahbaikan infrastruktur yang memberi manfaat berterusan kepada penduduk Sepang dan pengguna jalan raya, sekali gus memperkukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf dunia.
