Oleh: Abdullah Zaid
Keputusan Kerajaan Madani menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa ternyata menguntungkan rakyat Kelantan biar pun berlainan ideologi politik.
Bahkan, keputusan kerajaan menambah panjang landasan daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter adalah bukti Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengutamakan dendam sebagaimana yang didakwa oleh saingan politik beliau.
Bagi Ketua Cabang Tumpat, Zamakh Sari Ibrahim, pendekatan politik yang dibawa oleh PM itu sebaliknya berjiwa besar dan perlu dicontohi oleh pemimpin Pas Kelantan yang sering merendah rendahkan Anwar di mata rakyat negeri itu.
"Langkah kerajaan (pusat) ini adalah menunjukkan semangat federalisme yang mana Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabai kemajuan mana-mana negeri biarpun diperintah oleh pembangkang.
"Selain itu, tindakan ini juga memberi isyarat jelas kepada rakyat Kelantan bahawa kerajaan amat terbuka dalam pembangunan dan kemudahan infrastruktur negeri.
"Ini juga menunjukkan kerajaan amat menitik beratkan kebajikan rakyat serta tidak mengabai tanggungjawab membela nasib rakyat Kelantan secara amnya," kata Zamakh ketika dihubungi Suara Keadilan.
Malah, kata beliau, peruntukan pembangunan yang diberikan oleh Kerajaan Madani pada era PM Anwar jauh lebih tinggi berbanding kerajaan PN semasa pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020 lalu.
"Jika kita lihat jumlah peruntukan Kerajaan Perpaduan lebih tinggi daripada kerajaan sebelum ini.
"Ia adalah bukti bahawa Perdana Menteri sentiasa memenuhi janji membela rakyat Kelantan. Jadi tuduhan bahawa kerajaan tidak prihatin adalah tidak benar sama sekali dan perlu diperbetulkan," ujarnya lagi.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengesahkan projek memanjangkan landasan terbang di LTSIP telah dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet dan diluluskan.
Projek berkenaan, katanya, akan dimasukkan dalam fasa dua projek naik taraf dan pembesaran LTSIP yang kini sedang berjalan.
Projek berkenaan tidak menjadi projek baharu dan tidak memerlukan tender baharu, sebaliknya sambungan kepada projek sedia ada.
Manakala kos tambahan projek akan dibincangkan dengan pihak kontraktor dan Kementerian Pengangkutan juga akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Ekonomi untuk peruntukan tambahan.
Dengan naiktaraf lapangan terbang tersebut, rakyat Kelantan tidak lagi perlu pergi ke negeri lain untuk penerbangan antarabangsa, khususnya menunaikan haji ke Mekah sebelum ini yang perlu ke lapangan terbang negeri lain yang bertaraf antarabangsa sebelum berlepas.
Commentaires