Naik taraf jalan: Kerajaan Selangor bayar ex-gratia RM10,000 kosong plot nurseri
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk mengosongkan tapak nurseri di sepanjang Jalan Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada projek pembesaran serta pembinaan jalan bertingkat melibatkan pembangunan strategik Kwasa Damansara.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim (gambar) berkata projek infrastruktur itu penting bagi melancarkan aliran trafik, menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan berperingkat di koridor Sungai Buloh-Damansara.
"Projek tersebut sebelum ini tertangguh dalam tempoh yang lama, antaranya disebabkan isu pendudukan tapak yang masih belum diselesaikan secara menyeluruh.
"Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan mesra rakyat dengan mempertimbangkan pembayaran ex-gratia secara one-off kepada pengusaha nurseri yang terlibat sebagai langkah memudah cara proses pengosongan tapak," katanya dalam satu kenyataan.
Izham menjelaskan kawasan terlibat merupakan tanah kerajaan yang diduduki tanpa sebarang dokumen pemilikan atau kelulusan rasmi.
Justeru itu jelas beliau bayaran ex-gratia tersebut adalah bersifat saguhati bagi membantu peralihan dan bukan suatu pengiktirafan hak milik atau pendudukan kekal.
Kerajaan Negeri mempertimbangkan kadar RM10,000 bagi setiap plot, melibatkan 66 plot nurseri yang terjejas secara langsung oleh projek pembesaran jalan itu, katanya.
"Selepas pembayaran dibuat dan tempoh yang ditetapkan tamat, proses pengosongan tapak serta tindakan susulan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan projek dapat diteruskan tanpa kelewatan lanjut," katanya.
Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang komitmen tambahan melibatkan tapak gantian atau pampasan lain di luar bayaran ex-gratia yang dipertimbangkan.
"Kerajaan Negeri kekal komited untuk menyelesaikan isu berlarutan secara bertanggungjawab dan penuh prihatin, memastikan projek infrastruktur awam yang tertangguh dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat serta menjaga tadbir urus yang baik dengan mematuhi kerangka undang-undang dan pentadbiran tanah," katanya.









Comments