top of page

Naik had umur pengguna media sosial, eKYC tingkat keselamatan digital

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Langkah menaikkan had umur minimum pembukaan akaun media sosial kepada 16 tahun disifatkan langkah tepat dalam usaha melindungi kesejahteraan mental dan sosial remaja, demikian menurut Pakar Psikologi Kaunseling dari Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd Saad.


Beliau berkata, pendedahan awal terhadap media sosial tanpa kawalan mendedahkan remaja kepada pelbagai risiko termasuk buli siber, eksploitasi seksual, pengaruh rakan sebaya serta kandungan berbahaya berikutan ketidakmatangan dari segi kawalan emosi dan menilai risiko.


"Pada usia bawah 16 tahun, fungsi kawal selia emosi, keupayaan menilai risiko dan kematangan sosial masih belum stabil sepenuhnya.


"Dengan menaikkan had umur, kerajaan bukan sahaja “menyekat”, tetapi memberikan ruang remaja mencapai tahap kematangan lebih kukuh sebelum memasuki ruang digital yang sangat terbuka.

Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd Saad
Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd Saad

"Ini juga selari dengan data global yang menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja yang terdedah terlalu awal kepada media sosial.


"Langkah ini adalah pencegahan awal untuk membendung gejala sosial dan ketagihan digital," kata Dr. Fauziah kepada Suara Keadilan.


Mengulas pelaksanaan dasar Electronic Know Your Customer (eKYC) pada suku kedua 2026 pula, Dr. Fauziah menyifatkannya hal itu sebagai anjakan penting dalam mengukuhkan keselamatan digital negara.


Katanya, pelaksanaan eKYC akan mewajibkan pengesahan identiti setiap pengguna baharu melalui dokumen dan pengesahan wajah, sekali gus mengurangkan ruang penggunaan akaun palsu oleh sindiket penipuan, judi dalam talian dan penyebaran kandungan terlarang.


"Dengan eKYC, penyalahgunaan akaun palsu, robotik atau identiti tidak sah boleh dikurangkan secara ketara. Ia bukan sahaja memudahkan pengesanan suspek tempatan malah mempercepat siasatan pihak berkuasa," katanya.


Beliau berkata langkah itu akan meningkatkan akauntabiliti pengguna serta mewujudkan persekitaran lebih bertanggungjawab dalam platform media sosial.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, pelaksanaan pengesahan identiti pengguna (eKYC) ditetapkan sebagai syarat baharu kepada semua platform media sosial menjelang penghujung suku kedua tahun 2026.


Katanya tindakan itu sebagai langkah utama membanteras akaun palsu, scam dan judi dalam talian, manakala pengesahan identiti menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID akan memastikan setiap pengguna dikenal pasti secara sah, sekali gus mengukuhkan keselamatan ruang digital negara.


Justeru itu kata Dr. Fauziah, gabungan pelaksanaan had umur 16 tahun dengan eKYC mampu membentuk ekosistem media sosial yang lebih selamat bukan sahaja kepada remaja tetapi seluruh masyarakat.


"Ini akan mengurangkan secara ketara aktiviti scam, judi dan akaun robotik, kerana identiti palsu tidak lagi mudah digunakan. Ia juga memudahkan pengesanan suspek tempatan, sekali gus mempercepatkan siasatan pihak berkuasa.


"Selain itu ia akan meningkatkan akauntabiliti pengguna, kerana mereka tidak lagi boleh beroperasi secara anonim untuk tujuan menipu atau menyebar kandungan terlarang.


"Gabungan had umur 16 tahun dan eKYC akan membentuk ekosistem media sosial yang jauh lebih selamat, bukan sahaja untuk remaja tetapi juga seluruh pengguna," ujarnya lanjut.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page