N Sembilan: AMK gesa Jalaluddin jawab dakwaan cuba tukar kerajaan
- Azuan Ab Rahman

- Jun 10
- 1 min read

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias diminta menjelaskan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan skandal untuk menukar pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang mendapat mandat sah rakyat menerusi pilihanraya.
Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Mohammad Haqqim Nazaruddin berkata, penjelasan itu penting bagi meredakan pelbagai spekulasi yang timbul susulan laporan media sebelum ini.
"Rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui kedudukan sebenar berhubung dakwaan tersebut, khususnya yang melibatkan usaha menukar Kerajaan Negeri yang dipilih melalui mandat pilihanraya.

"Jika benar tidak berlaku sebarang rundingan seperti yang didakwa, maka penjelasan terbuka perlu diberikan supaya perkara ini tidak terus jadi tanda tanya," kata Ketua AMK Jelebu itu dalam kenyataan.
Beliau mengutarakan gesaan itu susulan laporan yang memetik kandungan surat didakwa dihantar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kepada kepimpinan Pas.
Surat setebal 13 muka surat bertarikh 25 Mei itu mendakwa beberapa siri perbincangan diadakan antara pemimpin Pas, Bersatu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO termasuk Jalaluddin bagi menetapkan agenda menukar kerajaan Negeri Sembilan.
Menurut kandungan surat itu, pertemuan itu mencapai persetujuan supaya 14 ADUN UMNO-BN menarik sokongan terhadap Aminuddin terlebih dahulu sebelum lima ADUN PN menyatakan pendirian mereka.
Sementara itu Haqqim Nazaruddin berkata, AMK tidak berminat untuk menghukum mana-mana pihak berdasarkan laporan semata-mata, namun perkara itu tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa sebarang penjelasan.
"Apabila timbul dakwaan baharu serius melibatkan percaturan untuk menjatuhkan kerajaan negeri, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui sama ada benar wujud usaha tersusun menggugat pentadbiran kerajaan negeri yang mempunyai mandat rakyat.
"Persoalan yang perlu dijawab hari ini mudah. Adakah dakwaan rundingan itu benar atau tidak?" soalnya.




Comments