MYTV pilih Lembah Pantai lancar kempen 'WHY PAY'
- Suara Keadilan
- Jun 26, 2023
- 1 min read

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semalam melancarkan kempen ‘WHY PAY’ anjuran MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV).
Dalam satu kenyataan MYTV berkata, kempen tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat setempat kaedah untuk mendapatkan siaran TV digital percuma yang menyiarkan kesemua saluran-saluran TV kerajaan dan swasta tanpa sebarang yuran bulanan.
Lokaliti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Lembah Pantai, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai lapangan pertama bagi program jelajah berkenaan.
"Matlamat utama MYTV adalah untuk menyediakan pelbagai pilihan program tempatan dan antarabangsa yang berkualiti tinggi (saluran TV dalam definisi tinggi) di bawah satu platform secara percuma, khusus untuk rakyat Malaysia.
"Kami amat berbangga menjadi antara penyumbang kepada kejayaan Agenda Kerajaan di dalam Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang membantu merapatan jurang digital dalam kalangan masyarakat.
"Kami juga percaya perkhidmatan MYTV dan penstriman percuma kami ini akan memainkan peranan yang besar dalam membantu Kerajaan di dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat,” kata Ketua Pegawai Operasi MYTV, Azlina Mohd Yusof melalui satu kenyataan.
MYTV dalam kenyataan itu turut memberitahu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen bagi kawasan itu telah menyempurnakan penyerahan dekoder MYTV kepada penama isi rumah yang layak secara percuma.
Commentaires