MyPCVE: Malaysia zahir iltizam perangi keganasan - Saifuddin
- Suara Keadilan

- Oct 2, 2024
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia komited untuk memerangi sebarang bentuk keganasan, sekali gus memastikan keselamatan negara berada pada tahap yang tertinggi.
Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah meluncurkan satu pelan bagi menangani isu fahaman pelampau dan keganasan.
"Perdana Menteri telah meluncurkan Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan 2024-2028 (Malaysia Action Plan On Preventing And Countering Violent Extremism - MyPCVE).
"Pelan ini merupakan manifestasi jelas kerajaan di bawah pimpinan Kementerian Dalam Negeri yang sentiasa komited memastikan keselamatan negara berada pada tahap tertinggi.
"Lebih penting, pelan ini selaras dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencadangkan setiap negara anggota memiliki pelan tindakan tersendiri, khususnya dalam menangani isu fahaman pelampau dan keganasan," katanya menerusi satu catatan di Facebook.
Anwar telah melancarkan pelan tersebut di sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam catatan sama, Saifuddin menyifatkan usaha berkenaan sebagai bukti Malaysia sentiasa berada di hadapan dalam memperkukuhkan keselamatan serta memastikan rakyat dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.
Jelas beliau lagi, MyPCVE mengandungi empat teras utama yang menggunakan pendekatan bersepadu 'soft approach' dan 'hard appproach' iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.
Katanya, setiap teras mempunyai fokus strategik yang menggariskan inisiatif untuk dilaksanakan semua pihak.
"Semua pihak itu adalah termasuk agensi penguat kuasa, penggubal dasar dan pelaksana dengan usaha kolaboratif bersama pertubuhan masyarakat sivil seperti ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi penyelidikan dan masyarakat setempat.
"Komitmen kerajaan terhadap pencegahan sebarang bentuk ekstremisme dan keganasan amat dihargai, dan ia menjadi langkah penting dalam mewujudkan sebuah Malaysia yang lebih selamat, berdaya tahan, dan sejahtera untuk generasi masa depan," ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha murni itu.




Comments