MyKiosk dapat sambutan, bukan projek gajah putih – Exco
- Suara Keadilan
- May 19
- 1 min read

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan bahawa pembinaan MyKiosk di negeri itu telah menjadi projek gajah putih.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar negeri, H'ng Mooi Lye sebaliknya berkata, inisiatif tersebut menerima permintaan tinggi daripada penjaja sekaligus memberi manfaat kepada golongan B40.
"Tiada isu gajah putih di Pulau Pinang. Kiosk ini mendapat sambutan baik dan kerajaan negeri bercadang untuk memohon tambahan 100 unit lagi tahun ini," katanya dipetik selepas meninjau kiosk di Pantai Miami di Georgetown pada Ahad.
MyKiosk merupakan inisiatif di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu peniaga mikro dan kecil dengan menyediakan ruang niaga selesa, seragam dan berpatutan.
Seorang pemimpin pembangkang sebelum ini mendakwa projek itu menjadi projek 'gajah putih' yang membazir dan tidak praktikal.
Berdasarkan rekod KPKT, sehingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk telah diluluskan pembinaannya di 133 PBT di seluruh negara dengan sebahagian besarnya sudah diisi.
Sementara itu menurut H’ng, di Pulau Pinang sebanyak 80 unit MyKiosk telah dibina di kawasan tumpuan ramai termasuk destinasi pelancongan seperti di tepi pantai.
Daripada jumlah itu, 35 unit ditempatkan di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan selebihnya di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
"35 kiosk di bawah MBPP itu ditempatkan di 10 lokasi dengan 32 daripadanya akan diisi oleh penjaja manakala baki tiga lagi iaitu di Kompleks Padang Tembak dan Kompleks Kota Selera untuk penjaja tanpa lesen.
"Setakat ini, permintaan terhadap MyKiosk sangat tinggi namun kita memberi keutamaan kepada penjaja tepi jalan dan tanpa lesen supaya mereka dapat berniaga secara sah," tambahnya.
コメント