Mustaffa Kamil Tawar Idealogi, Wawasan KEADILAN Lebih Progresif
- Suara Keadilan
- 23 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Dr Bam Al-Haj
ULASAN: Dalam menghadapi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025, satu nama yang kembali mencuri perhatian ialah Mustaffa Kamil Ayub, tokoh senior reformasi yang menawarkan gabungan pengalaman, idealisme, dan integriti dalam perjuangan politik.
Mencalonkan diri sebagai Naib Presiden KEADILAN, beliau hadir bukan sekadar sebagai wajah lama, tetapi sebagai figura yang konsisten dengan agenda reformasi, keadilan sosial, pendidikan rakyat, Usahawan Madani dan pembangunan kepimpinan muda.
Pengalaman politik era Reformasi
Mustaffa merupakan antara pengasas awal Parti Keadilan Nasional, yang kemudian bergabung menjadi Parti Keadilan Rakyat.
Dari awal gerakan reformasi 1998 hingga hari ini, beliau kekal istiqamah dalam memperjuangkan nilai-nilai reformasi tulen — menolak rasuah, menyantuni rakyat marhaen, dan memperkasakan demokrasi berparlimen.
Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam parti, antaranya:
Timbalan Ketua Pemuda KEADILAN Pusat (1999-2001)
Pemangku Ketua Pemuda KEADILAN Pusat (2001)
Setiausaha Agung KEADILAN (2001-2004)
Naib Presiden KEADILAN (2004–2010)
Pengerusi Negeri KEADILAN Perak, Kelantan, Terengganu dan Sarawak
Pengalaman meluas ini menjadikannya tokoh yang memahami denyut nadi parti di semua peringkat – dari cabang ke pusat.
Akademik, kepimpinan mahasiswa
Berbeza dengan ramai ahli politik yang terjun selepas kerjaya profesional, Mustaffa membina asasnya sejak zaman mahasiswa.
Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UKM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), beliau kemudiannya mengetuai Majlis Belia ASEAN (CAYC) dan Forum Belia Komanwel, menunjukkan wawasannya merentas sempadan nasional.
Beliau adalah lulusan Sains Genetik dari UKM, memegang Diploma Pendidikan dari UIAM, Diploma Kewangan Islam KDH dan memiliki Sarjana dalam bidang Sains Politik.
Kini, beliau sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang Model Globalisasi Manusiawi.
Calon konsisten, berwibawa, berprinsip
Mustaffa dikenali sebagai pemimpin yang berprinsip, tidak tunduk kepada tekanan politik atau kepentingan peribadi.
Beliau pernah mengambil keputusan berani menolak jawatan apabila dasar atau pendekatan tidak lagi selari dengan prinsip perjuangan murni yang asal.
Kini, dalam suasana politik yang memerlukan penyatuan idealisme dan kecekapan teknokratik, Mustaffa tampil sebagai calon Naib Presiden yang berupaya menjembatani generasi lama dan baharu dalam KEADILAN.
Beliau turut menyokong kepimpinan progresif, termasuk Saudari Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden, menjanjikan kombinasi segar dalam landskap kepimpinan parti.
Membina masa depan parti lebih jelas
Sebagai calon Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub menawarkan:
Pengalaman berstruktur dalam organisasi parti dan kerajaan.
Kefahaman dasar dalam bidang pendidikan, belia dan ekonomi rakyat.
Hubungan akar umbi kukuh melalui dekad khidmat politik di pelbagai negeri.
Wawasan inklusif untuk memperkukuh reformasi dalam kerangka Malaysia Madani melalui Kepemimpinan Berhikmah (Wise Leadership) menjadi tema kepimpinan beliau selama ini.
Bawa KEADILAN ke tahap lebih baik
Dengan latar belakang yang menyeluruh – dari aktivisme mahasiswa, perkhidmatan pendidikan, pentadbiran korporat, hingga pengalaman politik – Mustaffa Kamil Ayub hadir bukan sekadar sebagai calon, tetapi sebagai pemimpin yang layak membawa KEADILAN ke tahap lebih tinggi.
Sebagai sahabat yang mengenali beliau selama lebih 43 tahun sejak di UKM, saya percaya Saudara Mustaffa adalah seorang pemimpin yang berwibawa, berintegriti, sanggup bekerja keras dan berjuang demi keadilan bagi membela nasib rakyat.