Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) telah sekian lama wujud di Malaysia dan dioperasikan menggunakan kuasa elektrik.
Namun bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, tidak mustahil LRT yang bakal dibina di Pulau Pinang akan menggunakan kuasa bateri untuk menggerakkannya.
Beliau berkata demikian selepas bersama sama pasukan Technology Depository Agency (TDA) melawat MRT Corp di Depot Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.
"TDA adalah agensi bertanggungjawab memastikan projek mega kerajaan, melaksanakan pemindahan teknologi demi pembangunan negara, yang dikenali sebagai Industrial Collaboration Program (ICP).
"Saya berbincang panjang dengan CEO MRT Corp, Datuk Zarif tentang hala tuju ICP. Kami sama-sama berhasrat melibatkan syarikat-syarikat teknologi tempatan untuk membina industri rail negara dari software, ticketing system, sensors sehingga robotic dan heavy engineering melalui Program ICP. Sememangnya kita mempunyai banyak syarikat berteknologi tinggi yang hebat di Penang," katanya.
Menurut Tze Tzin lagi, TDA Malaysia pernah berjaya membangunkan beberapa syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana seperti SMH Rail menjadi syarikat global berdaya saing.
MRT Corp juga, katanya, berhasrat untuk menglibatkan syarikat berteknologi tinggi tempatan dalam membina LRT berkuasa bateri di Pulau Pinang sebagaimana kenderaan elektrik (EV) lainnya.
"Ini satu wawasan yang mungkin berlaku. Buat masa sekarang LRT sudah digerakkan dengan elektrik. Persoalannya bolehkah LRT digerak dengan battery seperti EV?
"Sudah pasti MRT Corp akan kaji dengan lebih lanjut kesediaan teknologi. Dan kami harap syarikat teknologi tinggi tempatan tampil memberi cadangan kebolehlaksanaan.
"Untuk MRT Penang, TDA di bawah pimpinan saya akan menjadi penggerak penglibatan industri berteknologi tinggi di Pulau Pinang.
"Kami akan merancang sesi engagement dengan pemain Industri teknologi yang ingin melibatkan diri dalam projek LRT Penang dari semua aspek teknologi. Sesi engagement akan dilaksanakan dalam bulan Mac dengan kerjasama InvestPenang," katanya.
Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN itu berharap akan ada teknologi baharu yang boleh dibina oleh syarikat tempatan khususnya melibatkan sektor berteknologi tinggi Pulau Pinang dalam masa terdekat.
"Sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru, saya sememangnya berhasrat melibatkan syarikat teknologi kawasan saya dalam projek mega kerajaan.
"Semoga Projek LRT Penang boleh membawa teknologi LRT ke peringkat yang lebih tinggi," katanya lagi.
Comentarios