top of page

Multilateralisme jamin kestabilan global, keadilan ekonomi, kedaulatan negara - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 7
  • 2 min read

Updated: Jul 8


PM DS Anwar menyampaikan pandangan negara dalam sidang BRICS mengenai multilateralisme. Foto Albarra
PM DS Anwar menyampaikan pandangan negara dalam sidang BRICS mengenai multilateralisme. Foto Albarra

Dunia tidak lagi boleh ditentukan melalui sudut pandangan satu kuasa besar atau unipolar sebagaimana selepas era perang dingin sejak 1990an lalu.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia sebaliknya perlu kepada multilateralisme dan mengiktiraf negara membangun sebagai kuasa baharu ekonomi yang perlu diperhitungkan suaranya di peringkat antarabangsa.


Hal itu dinyatakan beliau dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Brazil yang bermula hari ini.


"Dalam sesi intervensi, saya tegaskan pendirian Malaysia bahawa masa depan dunia tidak harus dibelenggu oleh pertembungan blok atau perpecahan geopolitik, sebaliknya dibentuk melalui semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen kolektif terhadap masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif untuk semua.


"Saya memandang serius senario pertembungan 'geopolitics of tech' atau teknologi berpaksikan kuasa geopolitik yang membawa risiko terhadap inovasi dan kestabilan bermasyarakat dan bernegara.


"Multilateralisme kini bukan lagi satu pilihan, ia merupakan keperluan mutlak untuk menjamin kestabilan global, keadilan ekonomi dan kedaulatan negara-negara membangun agar tidak terus terpinggir dalam arus peralihan geopolitik dan teknologi," katanya dalam hantaran di Facebook.


Tegas Anwar, dalam menghadapi realiti semasa Malaysia memilih jalan kerjasama yang berprinsip, bukan konfrontasi, selaras dengan prinsip keadilan, keterangkuman dan kedaulatan sejagat.


Katanya, Malaysia juga menggesa agar masyarakat dunia supaya tidak terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran. BRICS, ujar beliau, mesti bangkit sebagai suara keadilan sejagat, menolak penindasan dan memartabat maruah insan.


"Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memperjuangkan agenda yang selari dengan aspirasi BRICS termasuk reformasi sistem perdagangan global yang lebih adil, terbuka dan berpaksikan pembangunan.


"Malaysia juga menyambut baik kenyataan BRICS yang menekankan tadbir urus AI berasaskan nilai etika dan kesejahteraan sejagat.


"Kita sendiri telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI Negara serta Garis Panduan Tadbir Urus AI dan kini memimpin inisiatif penubuhan jaringan ASEAN AI bagi memperkukuh keupayaan, ketelusan dan piawaian serantau dalam teknologi canggih ini," katanya lagi.


Dalam kenyataan sama, kata PM, Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan BRICS dan negara-negara rakan bagi membentuk sebuah sistem ekonomi global yang lebih saksama, persekitaran digital yang selamat, diyakini serta multilateralisme yang benar-benar berfungsi demi masa depan bersama umat manusia.


BRICS pada waktu ini dianggotai oleh 11 negara iaitu Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Bangladesh, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Algeria, Colombia dan Uzbekistan.


Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak kali ini adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS serta Pengerusi ASEAN 2025.


Malaysia telah secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari tahun ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page