Muktamar Pas: Isu kerusi buntu, Umno-BN jadi batu loncatan?
- Akmal Manaf

- 8 hours ago
- 2 min read

Umno perlu membuka mata terhadap hala tuju sebenar hubungan politik dengan Pas apabila parti itu didakwa tidak menunjukkan komitmen jelas untuk memperkukuh kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada muktamar di Kelantan baru-baru ini.
Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata, Umno perlu berhenti menipu diri sendiri kerana realitinya menunjukkan Pas tidak melihat Umno sebagai rakan strategik yang setara.
Sebaliknya, ujar beliau, Umno hanya dijadikan sebagai ‘simpanan politik’ Pas apabila parti itu memerlukan sokongan pengundi Melayu di Pantai Barat Semenanjung.
"Di negeri-negeri SG4, Pas dan PN mahu mempertahankan penguasaan sepenuhnya. Apabila sampai soal kerusi dan kuasa, Umno tidak diperlukan.

"Tetapi apabila mahu menembusi negeri-negeri Pantai Barat, tiba-tiba naratif penyatuan Melayu dan kerjasama politik kembali dilaungkan.
"Ini bukan kerjasama politik. Ini politik guna bila perlu, buang bila tidak menguntungkan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua AMK Merbok berkata, ketiadaan komitmen untuk memperkukuh kerjasama BN dan PN dalam Muktamar Pas hujung minggu lalu, sepatutnya menjadi isyarat jelas kepada Umno bahawa kerjasama kali ini hanya akan mengulangi nasib Muafakat Nasional 1.0.
"Jangan sampai Umno hanya menjadi jambatan untuk Pas menyeberang ke Putrajaya, kemudian jambatan itu dibakar setelah mereka sampai ke seberang.
"Umno perlu bertanya kepada diri sendiri dalam hubungan ini, adakah mereka rakan kongsi atau sekadar ‘spare tyre’ politik Pas?," katanya lagi.
Pada muktamar lalu, Pas menyatakan pendirian mahu mempertahankan semua kerusi DUN dan Parlimen dimenanginya pada PRU15, khususnya Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis yang disifatkan ‘negeri pangkalan’.
Presiden parti, Hj Hadi Awang, berkata negeri tersebut mesti terus dikekalkan penguasaannya oleh parti itu.
"Setiap kerusi DUN dan Parlimen yang telah dimenangi pada PRU15 wajib dipertahankan, manakala Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4) sebagai ‘negeri pangkalan’ mesti terus dikekalkan penguasaannya," kata beliau dipetik.




Comments