top of page

Mukhriz enggan letak jawatan MB, cabar PN buat usul undi tak percaya



Datuk Seri Mukhriz Mahathir tetap enggan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar, walaupun ADUN yang menyokong Perikatan Nasional mendakwa Pakatan Harapan sudah kehilangan majoriti dalam kerajaan negeri Kedah.


Beliau menempelak tindakan pembangkang yang cuba menjatuhkan kerajaan tanpa melalui prosedur yang sah.

"Saya masih lagi Menteri Besar dan kerajaan negeri masih beroperasi seperti biasa.

"Pihak pembangkang tidak boleh mengumumkan pertukaran kerajaan negeri dengan hanya membuat sidang media dan tindakan menukar Menteri Besar perlu melalui proses tertentu," katanya menerusi kenyataannya di akaun Facebook miliknya.


Mukhriz turut mencabar pembangkang membuat usul undi tidak percaya dalam sidang DUN jika benar PH sudah kehilangan majoriti.

"Pembangkang sepatutnya mengusulkan undi tidak percaya melalui DUN Kedah dan bukannya dengan mengumpul Akuan Bersumpah dalam kalangan ADUN," katanya.

Dalam sidang media hari ini, Mukhriz mengulas lanjut bahawa keadaan politik Kedah masih dalam keadaan terkawal dan kerajaan PH masih beroperasi seperti biasa.

"Tidak benar dakwaan mana-mana pihak kerajaan ini telah jatuh semalam. Ada beberapa proses yang turut melibatkan Sultan Kedah sebelum perkara itu boleh berlaku. Selagi ia tidak berlaku selagi itu kerajaan beroperasi seperti biasa, sebab itu mesyuarat exco negeri boleh dibuat hari ini.

"Untuk memastikan menteri besar masih mempunyai sokongan majoriti ataupun tidak, kami ingin mengesyorkan kepada Sultan Kedah, perkara itu perlu dilalui sidang DUN, cara itu lebih terbuka dan pembangkang perlu usulkan undi tak percaya kepada menteri besar.

"Kita tak naklah bahas macam sidang DUN Melaka, kita buat cara Kedah dalam keadaan terkawal, berhemah dan tertib," katanya.

Mukhriz juga meminta ADUN yang berpaling tadah menyediakan hujah mereka mengenai sebab mereka hilang kepercayaan sebelum membuat undi tidak percaya.

"Saya selaku menteri besar juga memerlukan mandat exco sebelum menyerahkan keputusan kepada sultan. Saya tak boleh pegang kepada kata-kata pembangkang soal akuan bersumpah, saya tak nampak pun ada sampai 23 sokongan kepada PN," katanya.

Pada masa sama, Mukhriz mengakui sudah lali dengan pengkhianatan dalam politik.

"Biasalah, apa perasaan seseorang bila dikhianati kawan-kawan. Sebelum ini pun dah pernah berlaku di peringkat Persekutuan dan sekarang di peringkat negeri.

"Nampaknya, musim pengkhianatan ini memang sejak tahun 2020 ini. Mungkin tahun ini bukan tahun yang begitu baik untuk negara, sebab kita ini sibuk dengan Covid-19, dengan bulan Ramadan lagi, apa sebabnya tindakan seperti ini perlu dilakukan waktu kita beri tumpuan kepada rakyat?

"Mungkin bunyi macam tak sesuai nak kata mereka gelojoh. Tapi kalau tak gelojoh kenapa tak tunggu lepas raya ke, tinggal dua tiga minggu sahaja lagi. Sepatutnya tak ada masalah," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page