top of page

Muhyiddin PM paling popular: Era Muhyiddin rakyat angkat 'bendera putih' - Shahbudin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 17 minutes ago
  • 2 min read

Shahbudin (tengah) menolak dakwaan Rafizi bahawa Muhyiddin PM yang mendapat sokongan paling tinggi
Shahbudin (tengah) menolak dakwaan Rafizi bahawa Muhyiddin PM yang mendapat sokongan paling tinggi

Ketua Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Shahbudin Embun menyifatkan pandangan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mendakwa pemimpin Perikatan Nasional, Muhyidin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM) paling popular pada eranya kerana mendapat sokongan besar orang Melayu sebagai tidak realistik.


Menurut Shahbudin, kenyataan Rafizi itu hanyalah pandangan politik semata-mata tanpa disokong data atau penyelidikan yang sahih.


"Pandangan Rafizi ini adalah pandangan politik tanpa sandaran kajian saintifik dan tidak realistik," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, dakwaan tersebut mengabaikan realiti semasa era pemerintahan Muhyiddin, khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, yang menyaksikan ramai rakyat terdesak sehingga terpaksa menggemis bantuan makanan untuk meneruskan hidup.


"Rafizi terlupa bahawa di zaman pemerintahan Muhyiddin (era Perintah Kawalan Pergerakan) ada kalangan rakyat mengangkat 'bendera putih' (kerana ketiadaan bekalan makanan)," ujarnya.


Shahbudin turut mengingatkan mengenai pelbagai kontroversi yang berlaku ketika pemerintahan Muhyiddin seperti skandal Jana Wibawa yang didakwa melibatkan penyelewengan wang rakyat bernilai ratusan juta ringgit.


"Termasuklah skandal Jana Wibawa, di mana berjuta-juta wang rakyat disakau oleh pemimpin Bersatu sehingga menantu Muhyiddin sendiri didakwa melarikan diri ke luar negara," katanya.


Selain itu, beliau menegaskan bahawa penggantungan Parlimen atas alasan darurat Covid-19 ketika era Muhyiddin merupakan kemuncak tindakan mencabuli prinsip demokrasi.


Dalam pada itu, Shahbudin turut mendakwa terdapat usaha terancang oleh pembangkang untuk membina naratif negatif terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dengan niat mahu menjadikan beliau Perdana Menteri sepenggal.


Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar berwaspada terhadap tindakan pihak yang disifatkannya sebagai golongan yang suka menyebarkan fitnah.


"Kita wajib berwaspada terhadap tindak-tanduk golongan ini yang saya anggap sebagai ‘geng sinister’ yang menyerang kerajaan tanpa sebab," katanya.


Pada masa sama, Shahbudin mempertahankan prestasi Kerajaan MADANI dengan menegaskan bahawa kerajaan pimpinan PM Anwar sentiasa menjaga kebajikan rakyat.


"Bukannya kerajaan kita zalim. Bukannya kerajaan kita tak jaga rakyat. Malah indikator ekonomi semua naik. Nilai matawang naik dan Malaysia makin disegani. Rakyat ada (bantuan) SARA, BUDI95. Kos telur, beras, ayam semua dah turun," jelasnya.


Justeru, beliau menyeru penyokong Kerajaan MADANI agar terus mempertahankan kepimpinan negara dan tidak leka menghadapi cabaran politik semasa.


"Ingat pesanan PMX agar kita terus berjuang dan tidak alpa kerana musuh sudah berada di hadapan kita," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page