Muhyiddin larang ahli Bersatu sokong BN
- Akmal Manaf

- 2 days ago
- 1 min read

Meskipun berada dalam gabungan sama iaitu Perikatan Nasional (PN), Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat mengambil pendirian berbeza dengan Pas apabila menggesa pengundi agar tidak menyokong Barisan Nasional (BN), sedangkan Pas sebelum ini mengarahkan ahlinya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi parti berkenaan.
Pendirian berbeza itu terserlah apabila Muhyiddin berucap pada Ceramah "Bersatu Demi Johor" di Bilik Gerakan Utama PN di Parit Raja, Batu Pahat, malam tadi.
"Kalau tidak ada satu langkah berkesan dinyatakan (oleh) Kerajaan Negeri (Johor) dan Kerajaan Persekutuan untuk menentukan tahap dan kemajuan pembangunan rakyat Johor ini, (selain) boleh meningkat dalam satu tempoh yang akan datang ini, apa tujuan kita nak sokong Barisan Nasional?
"Nak sokong ke? Jangan sokong kerana tidak ada jaminan bahawa dengan sokongan itu, (apatah) lagi sekarang ini sudah kedengaran (mereka) boleh menang 40 kerusi.
"Kalau dah menang 40 kerusi, mereka (BN) berlenggang tangan saja. Tak buat apa-apa pun. Tak apa, sebab rakyat dah sokong mereka. Akhirnya (rakyat) juga yang tidak mendapat apa-apa," katanya.
Menurut Muhyiddin lagi, walaupun PN tidak bertanding di semua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, gabungan itu tetap memerlukan sokongan pengundi agar dapat memainkan peranan sebagai pembangkang dan menjadi mekanisme semak dan imbang sekiranya tidak berjaya membentuk kerajaan.
Mantan Pengerusi PN itu berkata, peranan semak dan imbang penting bagi memastikan kerajaan tidak bertindak sesuka hati, selain dipersoalkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan forum lain mengenai aliran penggunaan wang negara dan juga kerajaan negeri.
Untuk rekod, sebelum ini pemimpin nombor dua Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man membenarkan ahli Pas menyokong BN di DUN yang tidak ditandingi oleh parti berkenaan.




Comments