top of page

Muhyiddin bela rakyat 'derita', mengapa menantu mewah di luar negara?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 24
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) mengecam Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan tular dakwaan menantunya kini menikmati kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.


Lokman menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang lucu dan penuh ironi apabila Muhyiddin yang mengkritik kerajaan kononnya gagal meringankan beban rakyat, sedangkan menantunya yang kini dikehendaki pihak berkuasa, dilaporkan menikmati kehidupan mewah di luar negara.


''Ya, inilah Muhyiddin yang sama, yang sering menggambarkan dirinya sebagai 'Abah' kepada rakyat yang menderita, kini mendapati keluarganya terjerat dalam skandal yang sarat dengan ironi.


''Menurut laporan The New Straits Times, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan (menantu Muhyiddin) yang juga seorang ahli perniagaan dikehendaki untuk siasatan rasuah telah dilihat bergaul dengan golongan elit Timur Tengah dan bercuti dengan santai di tempat seperti Thailand.


''Laporan turut menyebut beliau bermain golf dan melakukan latihan menembak. Bukanlah gaya hidup seseorang yang sedang 'melarikan diri', kan?" soal Lokman dalam satu muat naik di Facebook beliau.


Menurut beliau lagi, susulan kontroversi berkenaan, Muhyiddin yang sering menampilkan diri sebagai seorang ‘Abah’ dan 'berkhutbah' tentang tadbir urus bersih serta kebajikan rakyat, kini terpaksa menyaksikan bagaimana kemewahan keluarganya sendiri menjejaskan setiap kata yang pernah diucapkannya.


Pengarah Komunikasi UMNO itu menambah, ironinya begitu jelas ketika rakyat Malaysia sedang mengira ‘sen’ di pasar raya, namun menantunya yang menjadi pelarian dilaporkan sedang seronok bermain golf di padang luar negara.


''Mungkin krisis sebenar yang perlu Muhyiddin risaukan bukanlah 'kos sara hidup', tetapi 'kos kredibiliti' kerana pada ketika ini, kredibilitinya sedang menjunam teruk.


''Adakah ini akan menjadi paku terakhir dalam keranda politiknya? Atau adakah beliau juga akan menemui cara untuk 'bermain golf' keluar daripada akauntabiliti?


''Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan kononnya ini adalah satu bentuk penganiayaan politik, sebaliknya menegaskan bahawa ia adalah soal akauntabiliti.


''Kata Saifuddin ini bukan pemburuan politik, tetapi merupakan soal proses undang-undang sambil menekankan bahawa tiada sesiapa walaupun berketurunan politik yang berada di atas undang-undang.


''Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail turut mengesahkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Adlan dan kerjasama antarabangsa sedang dijalankan,'' kata Lokman lagi.


Terdahulu laporan media menyebut, Muhammad Adlan yang telah melarikan diri lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.


Muhammad Adlan dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.


Beberapa gambar yang dikongsi kepada New Straits Times menunjukkan Adlan bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat.


Dalam salah satu gambar tersebut, kelihatan potret seorang pemimpin negara berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page