Muat naik video di media sosial pun perlu lesen FINAS?


Agak mengejutkan apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah mengumumkan bahawa mereka yang mahu memuatnaik rakaman video sama ada di media sosial ataupun saluran tradisi perlu mendapatkan lesen dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terlebih dahulu.


Ketika sesi pertanyaan kepada menteri di Parlimen, Saifuddin berkata semua penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tidak kira mereka adalah agensi media arus perdana atau media personal yang menerbitkan rakaman di platform media sosial atau saluran tradisi.


Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mempersoalkan adakah tafsiran filem yang dimaksudkan Saifuddin bermaksud semua pengguna media sosial perlu mendapatkan lesen dari FINAS.


Saifuddin kemudian merujuk kepada Seksyen 2 Akta FINAS 1981 Pindaan 2013 yang menyebut bahawa filem cerita, filem pendek, filem subjek ringkas dokumentari, trailer dan filem kecil iklan dan apa-apa rakaman pada apa-apa jenis bahan untuk dilihat oleh orang ramai.


“Kita memang galakkan semua orang kecil besar, tua muda, individu atau organisasi untuk mengeluarkan apa-apa jenis filem dan semua itu tertakluk kepada undang-undang sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat.


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pula mempersoalkan sama ada Youtuber Dustin Pfundheller mempunyai lesen dari FINAS selepas mengeluarkan video bagi membalas dokumentari kontroversi Al-Jazeera.


Saifuddin bagaimanapun berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan jika ada aduan, tindakan akan diambil.


Fahmi menganggap beliau tidak menjawab soalan tersebut.


Kenyataan Saifuddin cukup mengelirukan dan apa yang membimbangkan, kerajaan dilihat menggunakan kes Al-Jazeera sebagai alasan untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewajibkan semua orang mendapatkan lesen dari FINAS sebelum menghasilkan dan memuatnaik video di media sosial.


Jika diambil satu contoh, adakah seseorang yang menghasilkan sebuah video yang mengandungi kritikan terhadap kerajaan akan dinafikan lesen dari FINAS?


Perkara ini perlu dijelaskan kerajaan kerajaan jika tidak, ia hanya merupakan satu lagi cubaan untuk menghalang kebebasan bersuara.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio