
Majlis Perlindungan Alam Sekitar (MPAS) Sabah diminta supaya memainkan peranan lebih proaktif dalam menasihati kerajaan negeri berkaitan soal penjagaan alam sekitar.
Pengerusinya, Datuk Christina Liew berkata MPAS bertanggungjawab dalam hal-hal pengurusan alam sekitar dan pembangunan lestari di negeri ini termasuk Dasar Alam Sekitar Negeri bagi memastikan pembangunan mampan di Sabah.
Justeru majlis itu tegasnya mempunyai kuasa menyampaikan nasihat berkaitan Enakmen Perlindungan Alam Sekitar (EPAS) 2002 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD).
"Dasar tersebut mengandungi 83 strategi berdasarkan lima aspek iaitu tanah, udara, air, biodiversiti dan dimensi sosial.
"Setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu proaktif serta komited khususnya bekerjasama dalam menangani isu alam sekitar di Sabah," kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu ketika mempengerusikan mesyuarat pertama MPAS, di Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Christina turut mengingatkan supaya aktiviti perlombongan di negeri ini perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya alam sekitar dapat dijaga dengan baik.
Langkah itu menurutnya penting memandangkan negeri itu sebagai lokasi tumpuan pelancong.
"Persekitaran yang bersih dan sihat adalah aset penting terutamanya untuk menarik pelancong luar datang ke Sabah," katanya.