Berikut merupakan syarat-syarat Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September 2021.
MoU dibuat di antara Kerajaan Persekutuan (Kerajaan) dan Pakatan Harapan (Pakatan Harapan).
Mukadimah
I. Menjunjung titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan mengambil kira kedudukan kerusi pihak kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah hampir seimbang, maka perlunya satu pendekatan baru kerjasama “dwi-partisan” untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara;
II. Menjunjung titah nasihat Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis;
III. Di atas kesedaran dan keprihatinan terhadap kepentingan rakyat dan negara dalam menghadapi krisis kesihatan khususnya wabak Covid-19, keadaan ekonomi yang mendesak dan kesan sosial yang dihadapi oleh semua lapisan rakyat serta sektor akibat daripada penularan pandemik tersebut; dan
IV. Tumpuan sepenuhnya dan keutamaan adalah perlu diberikan oleh Kerajaan dan Pakatan Harapan kepada kestabilan politik dan pentadbiran negara serta juga usaha-usaha bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi, serta berusaha untuk mewujudkan sebuah lanskap politik yang baru dengan melaksanakan tranformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.
Pihak-pihak Bersetuju dengan balasan, antara lain, perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ini:
1. Definisi & Interpretasi
Dalam Memorandum Persefahaman ini melainkan konteksnya menghendaki makna yang lain:
‘Kerajaan’ ertinya Kerajaan Persekutuan Malaysia di bawah pentadbiran YAB. Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri.
‘Lampiran’ ertinya Lampiran kepada Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ini.
‘Memorandum ertinya Memorandum Persefahaman Transformasi dan Persefahaman’ Kestabilan Politik ini.
‘Pakatan Harapan’ ertinya gabungan politik Pakatan Harapan dan termasuk parti-parti politik PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR), PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK (DAP), PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH) dan PERTUBUHAN KINABALU PROGRESIF BERSATU (UPKO) dan semua Ahli Parlimen di bawah gabungan ini.
‘Transformasi’ ertinya semua reformasi, perubahan, pindaan dan/atau penambahbaikan yang disenaraikan dan digambarkan dengan lebih baik di Lampiran dilampirkan kepada dan adalah bahagian integral kepada Memorandum Persefahaman ini dan hendaklah ditafsirkan sewajarnya.
1.1 Perkataan-perkataan yang membawa maksud satu adalah juga merujuk kepada jumlah majmuk dan juga sebaliknya, perkataan-perkataan yang membawa maksud suatu jantina juga merujuk kepada setiap jantina, dan perkataan-perkataan yang merujuk kepada orang perseorangan adalah juga merujuk kepada parti-parti politik, badan-badan sama ada diperbadankan ataupun tidak diperbadankan.
1.2 Rujukan kepada mukadimah, klausa dan Lampiran adalah rujukan kepada mukadimah, klausa dan Lampiran kepada Memorandum
Persefahaman ini, yang merupakan bahagian integral kepada Memorandum Persefahaman ini dan hendaklah ditafsirkan sewajarnya.
1.3 Tajuk-tajuk adalah hanya untuk mempermudahkan rujukan sahaja dan tidak menjejaskan pentafsiran Memorandum Persefahaman ini.
2. Tempoh masa
2.1. Memorandum Persefahaman ini hendaklah berkuatkuasa daripada tarikh Perjanjian ini ditandatangani dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14.
3. Persefahaman Pihak- pihak
3.1. Kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 haribulan Julai 2022.
3.2. Kerajaan hendaklah berusaha dengan ikhtiar terbaik melaksanakan setiap satu dan segala Transformasi yang dicadangkan dan dalam aturan masa yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
3.3. Sebagai balasan kepada penunaian dan perlaksanaan Transformasi dalam aturan masa yang dipersetujui di dalam Lampiran kepada
Memorandum Persefahaman ini, Pakatan Harapan dengan ini bersetuju untuk melaksanakan perkara berikut pada masa material:
a. Tertakluk kepada penunaian dan perlaksanaan Transformasi di dalam Memorandum Persefahaman ini, mengambil pendirian
menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengan
Belanjawan 2022, selepas proses penggubalan rang undangundang tersebut dirundingi dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya; dan
b. Tertakluk kepada penunaian dan pelaksanaan Transformasi di dalam Memorandum Persefahaman ini, mengambil pendirian
menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang lain yang kegagalan
meluluskannya merupakan suatu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada Kerajaan, selepas proses penggubalan rang
undang-undang tersebut dirundingi dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.
4. Penunaian dan Pelaksanaan Transformasi
4.1. Walau apapun terma-terma bercanggah yang terkandung di sini, Pihakpihak dengan ini mengiktiraf dengan nyata bahawa kegagalan untuk menunaikan dan melaksanakan klausa-klausa 3.1, 3.2 dan 3.3 dan manamana Tranformasi adalah suatu pelanggaran Memorandum
Persefahaman ini dan boleh mengakibatkan penamatan Perjanjian ini.
4.2. Pihak-pihak seterusnya bersetuju untuk bekerjasama dan berkomunikasi bagi terus menunaikan dan melaksanakan setiap Tranformasi yang dinyatakan dalam Memorandum Persefahaman ini bersekali dengan Lampiran.
5. Masa
5.1. Masa, di mana disebut, hendaklah menjadi intipati kepada Memorandum Persefahaman ini.
6. Tiada Kerahsiaan
6.1. Pihak-pihak dengan ini bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya Memorandum Persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen
terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.
7. Keseluruhan Memorandum Persefahaman
7.1. Melainkan dinyatakan secara khusus di sini, Memorandum Persefahaman ini membatalkan segala cadangan lisan atau bertulis terdahulu, segala perbincangan terdahulu, segala komunikasi atau persefahaman di antara Pihak-pihak.
7.2. Lampiran kepada Memorandum Persefahaman ini hendaklah dibaca dan ditakrifkan sebagai bahagian integral Memorandum Persefahaman ini.
8. Pemakaian Undang-undang
8.1 Memorandum Persefahaman ini hendaklah dikawal oleh dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.
9. Tugas dan Peranan Pakatan Harapan Sebagai Pembangkang
9.1. Kerajaan dan Pakatan Harapan bersetuju bahawa tiada apa perkara sekalipun yang terkandung di dalam Memorandum Persefahaman ini yang akan memberi kesan terhadap peranan, hak dan tanggungjawab Pakatan Harapan untuk menyemak imbang, mengawasi, meneliti, dan memastikan Kerajaan bertanggungjawab terhadap Parlimen, termasuk memastikan ketelusan,intergriti dan keberkesanan Kerajaan dalam mengendalikan isu-isu rakyat.
Opmerkingen