MoU: PH ada hak tinggalkan kerjasama jika perkara pokok tidak dilaksanakan



Kekeliruan masih timbul dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) berhubung Memorandum Kerjasama (MoU) yang ditandatangani oleh kerajaan PN dan PH pada 13 September lalu.


Terutama mengenai pilihan untuk PH meninggalkan MoU sekiranya salah satu tuntutan tidak berjaya dipenuhi oleh pihak Kerajaan.


Bagi Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, MoU bukanlah kontrak komersial yang mempunyai syarat ketat. Namun sekiranya berlaku pelanggaran perkara dasar maka PH mempunyai pilihan untuk membatalkan kerjasama.


"Contohnya lampiran 1 perenggan 1, dipersetujui pelan menangani Covid 19 ada dana RM45 bilion. Bagi saya kalau dalam tempoh sebelum akhir tahun ini tidak berlaku, mungkin kita kena lihat apakah yang tidak berlaku. Mungkin ada perkara yang boleh kita runding semula.


"Contoh peruntukan RM45 bilion, ini perkara pokok. Kalau kerajaan Ismail Sabri gagal luluskan dalam Belanjawan akan datang, ini perkara pokok. Dengan itu mungkin kita guna klausa tarik diri dari MoU.


"Tetapi jika hanya perenggan mengenai langkah menangani Covid dan perlu masa. Katakan perlukan 3 bulan sampai Mac 2022. Bagi saya tidak ada masalah dibawa ke Jawatankuasa Pemandu untuk selesaikan. Ada perkara mereka langgar kita batal MoU dan ada masa kita boleh runding semula," katanya dalam forum maya Lensa Parlimen bertajuk "MoU - Apa Cerita Jika Gagal", semalam.


Menurut Sivarasa, terdapat juga dalam MoU berkenaan perkara yang tidak mempunyai tempoh pelaksanaan seperti Perjanjian Malaysia (MA63) yang kelihatan amat longgar.


Katanya, dalam hal seperti itu mungkin rundingan semula boleh dilakukan atau dibuat MoU tambahan kelak.


"Di dalam perenggan 5, MA63, saya perhatikan tidak ada tempoh diperuntukkan. Ada banyak klausa lain tempoh disebut.


"Bagi saya dalam kontrak komersial pun, kalau dilihat ia tidak muktamad. Banyak yang buat kontrak ada pemikiran semula dan buat perjanjian tambahan. Tetapi ini kontrak politik. Ia bukan kekal.


"Katakan ada tuntutan yang kuat dari Sabah Sarawak, mereka nak ini diberi tempoh. Bagi saya tak ada halangan di Jawatankuasa Pemandu buat perundingan. Setuju tarikh baru dan kita boleh buat MoU tambahan. Begitu juga dengan tajuk lain, ada kesilapan atau tambahan, dan kita buat MoU tambahan," katanya.


Mengenai perlukah PH mengundi menyokong kerajaan misalnya dalam isu Belanjawan sebagaimana banyak ditimbulkan oleh netizen, kata Sivarasa, MoU tidak sama dengan perjanjian CSA, kepercayaan dan perbekalan.


Dalam praktik CSA tertulis pembangkang mesti memberi undi menyokong Belanjawan untuk mengelakkan terganggu sistem perbekalan negara. Bagaimanapun MoU mensyaratkan PH boleh berkecuali dalam undian Belanjawan.


"Kita boleh menyokong dan kita ada pilihan berkecuali. Ini telah dinyatakan di perenggan tiga. Rundingan mesti berlaku, mesti ada persetujuan dasar baru kewajipan kita ada.


"Kalau di peringat dasar kita tak ada persefahaman maka kita boleh membantah. Kalau ada rundingan tetapi ada yang kita tidak setujui kita akan berkecuali. Inilah persetujuannya. Pendekatan ini juga terpakai kepada Rang Undang-undang lain," katanya.


Selain itu, MoU juga tegas Sivarasa, tidak meminta PH menyokong kerajaan sekiranya ada Undi Percaya. Pihak pembangkang boleh untuk memilih berkecuali.


"Cuma sekarang dalam persefahaman maka kita (setuju) tidak usul Undi Tak Percaya


"Kerajaan sekarang ada 114, katakan esok ada kumpulan tarik diri, adakah PH wajib beri sokongan kepada Ismail? Tidak. Dia mesti ada majoriti, itu tanggugjawab dia," katanya.


Cuma menurut Sivarasa lagi, PH mendapat beberapa kelebihan seperti pelaksanaan reformasi pentadbiran, Parlimen dan kehakiman yang diperjuangkan selama ini, boleh direalisasikan.


"Katakan kita nak tambah Jawatankuasa Pilihan Khas, sekarang ada 8 kita mungkin nak tambah 15. Setiap jawatankuasa itu akan memantau perjalanan Parlimen, misalnya kesihatan, ada yang memantau, kementerian kecil mungkin dua tiga kementerian satu jawatankuasa.


"Jika berlaku penyelewengan pengerusi jawatankuasa akan panggil Menteri, Timbalan, KSU, pegawai terlibat datang ke jawatankuasa dan jawab soalan. Mekanisme ini kita boleh jalankan semak imbang yang lebih baik," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER