MOT sumbang 55 motosikal kepada mangsa kebakaran paip gas
- Suara Keadilan
- Apr 9
- 1 min read

Kementerian Pengangkutan (MOT) menyumbang 55 unit motosikal kepada penduduk yang terjejas dalam insiden letupan saluran paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru semalam.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook dipetik laporan media memaklumkan, pihaknya mengambil inisiatif mencari penaja bagi membantu memudahkan urusan harian mangsa terbabit khususnya dalam aspek mobiliti harian.
Sehubungan itu syarikat korporat Spanco telah tampil menaja motosikal berkenaan yang dibeli daripada pembekal motosikal terkemuka tempatan.
"Harga pasaran motosikal berkenaan mencecah kira-kira RM6,000 seunit, namun ia diperoleh pada harga RM5,000 seunit.
"Kos itu ditanggung sepenuhnya oleh Spanco, termasuk perlindungan insurans selama setahun bagi setiap motosikal
"Motosikal didaftarkan dengan nombor pendaftaran khas 'MADANI' mengikut spesifikasi yang ditetapkan JPJ dan JPJ turut menyumbangkan topi keledar percuma kepada semua penerima hari ini," katanya pada media selepas majlis penyerahan motosikal di LRT Putra Heights pada Selasa.
Pada majlis itu penerima turut menerima sijil pemilikan kenderaan serta cukai jalan motosikal masing-masing.
Insiden kebakaran paip gas pada 1 April lalu bukan sahaja memusnahkan beberapa rumah, malah kenderaan penduduk termasuk motosikal turut dilapor rosak.
Sementara itu tambah Loke, sumbangan itu adalah antara bentuk kerjasama erat antara kerajaan dan pihak swasta dalam usaha membantu rakyat yang ditimpa musibah.
"Kita harap dengan bantuan itu, kehidupan mangsa dapat kembali pulih dalam kadar segera," tambahnya.
Comments