MOT salur bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah


Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) meneruskan penyaluran sumbangan khas RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah bagi Zon Utara menerusi program yang berlangsung di Dewan Sri Pinang, semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebagai sebahagian daripada pelaksanaan bantuan secara berperingkat ke seluruh negara.
Menurut kenyataan MOT, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kebajikan golongan pemandu, khususnya dengan membantu meringankan beban kewangan mereka.
"Inisiatif pengagihan berperingkat ke seluruh negara ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI yang berpaksikan nilai Ihsan dan Kesejahteraan dalam memperkukuh kebajikan golongan pemandu, meringankan beban kewangan," kata kenyataan itu.
Bantuan berkenaan turut bertujuan membantu pemandu yang akan menyambut perayaan Deepavali bagi membuat persiapan menyambut perayaan itu.
MOT memaklumkan pembiayaan bantuan khas di bawah Belanjawan 2027 itu menggunakan hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan khas siri ‘H’ yang bernilai RM91.2 juta.
Menurut kementerian itu, pendekatan berkenaan membolehkan hasil negara disalurkan kembali kepada rakyat bagi membantu kehidupan mereka, selain menghargai sumbangan golongan pemandu kepada sektor pengangkutan darat negara.
"(Inisiatif ini) sekali gus membuktikan bahawa hasil negara dipulangkan terus demi memelihara kelangsungan hidup rakyat dan memartabatkan perkhidmatan pengangkutan darat negara," kata kenyataan itu lagi.
Pelaksanaan bantuan secara berperingkat itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan pengusaha dan pemandu pengangkutan awam terus diberi perhatian, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.




Comments