
Kehendak rakyat Kelantan mengubah sokongan dari Pas kepada parti lain semakin jelas kelihatan dalam 10 hari berkempen.
Menurut Setiausaha KEADILAN Negeri Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan, keadaan di hampir seluruh negeri ketika ini seolah olah tidak lagi memihak kepada Pas. Apatah lagi pilihan raya kali ini hanya di peringkat parlimen dan tidak ada sentimen untuk mengekalkan Pas pada peringkat Kerajaan Negeri.
Katanya, selepas kunjungan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa kawasan terpilih, termasuk Pasir Mas pada 5 November lalu, keadaan sokongan kelihatan semakin baik buat Pakatan Harapan (PH).
"Mood pengundi memang kuat kepada PH. Memang dikata gelombang itu ada. Baru ni lepas Datuk Seri Anwar turun. Masa turun 5 November masih lagi nak panas enjin. Turun 10 November sambutan lebih baik.
"Jentera pilihan raya PH juga bergerak lancar. Di pihak lawan pula, kali ini (jentera) tidak terlalu kuat sangat, nampak macam seimbang.
"Masa PRU 14 dulu dari segi poster pun awal awal kita dah kalah. Sekarang saya tengok 2 - 3 tempat seperti Pasir Mas nampak seimbang. Poster lebih kurang, bendera pun lebih kurang.
"Jelas mood rakyat Kelantan nak berubah. Cuma mungkin mereka tengok calon dan sebagainya," katanya kepada Suara Keadilan.

Mengulas lanjut, Zinda Khalid berkata, dalam tinjauan yang dilakukan tidak sebagaimana tradisi rakyat yang tidak mahu Pas akan menyokong Umno, PRU ini keadaan berlainan.
Kali ini katanya, pengundi Kelantan mahu mencuba sesuatu yang baharu, iaitu PH.
"Kita turun di Pengkalan Chepa baru ni, dengan keadaan hujan kita tengok full swing. Orang penuh. Live hari itu pun berbelas ribu. Saya pun terkejut," katanya.
Dihadapkan dengan pengalaman lautan rakyat menghadiri ceramah PH pada 2018 lalu namun pada PRU satu kerusi pun tidak dimenangi, kali ini Zinda Khalil berpendapat sebaliknya.

Kata beliau, PRU 14 tidak ada kebangkitan di banyak tempat sebagaimana sekarang.
"PRU 14 ada beberapa tempat yang nampak ramai. Sekarang saya tengok di Pasir Mas penuh orang. Dekat pengkalan Chepa yang PH tak kuat pun penuh. Sambutan baik," katanya lagi.
Justeru itu beliau berkata terdapat 3 - 4 kerusi berpotensi untuk dimenangi.
Beliau berharap berbaki 3 hari sebelum mengundi jentera PH bekerja lebih keras untuk mendapatkan pengundi muda kerana golongan itu boleh menjadi penampan kepada sebarang perubahan undi apabila anak rantau pulang mengundi kelak.