
Penyandang kerusi DUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin akan sekali lagi diberi peluang menggalas tanggungjawab mewakili pengundi di kawasan itu.
Mantan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna & Industri kerajaan Negeri Selangor itu menyifatkan kerjasama politik yang terjalin antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) kali ini bakal memberinya kelebihan dari sudut jumlah undi.
"Selepas bertemu dengan pimpinan UMNO dan BN serta Parti Amanah Negara (Amanah), mereka berikan sokongan padu (terhadap kami).
"Ini adalah satu sejarah yang mana PH dan BN bergabung tenaga dan kita pasti dapat raih sokongan terbesar dalam pilihanraya kali ini," katanya.
PRN Selangor di DUN N49 Sungai Kandis kali ini menyaksikan beliau bertanding menentang dua calon daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Afriena Shaqira Sariff dan Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Wan Dzahanurin Ahmad.
Mohd Zawawi yang sebelum ini menyandang kerusi tersebut bagaimanapun tidak akan memperkecilkan usaha parti-parti tersebut dalam merebut DUN berkenaan.
Sebagai rekod, Mohd Zawawi menjadi wakil rakyat bagi DUN berkenaan sejak 2018.
Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda (Bahasa Arab) Universiti Al Azhar, Mesir dan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis pada Ogos 2018 dengan meraih 15,427 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi).