Mohd Umry komited selesai isu kemudahan di DUN Pertang
- Suara Keadilan

- Jul 23
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pertang, Mohd Umry Abdul Khois, menegaskan komitmen menjadi jurucakap utama yang membawa suara seluruh lapisan rakyat tempatan.
Menurutnya, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kepercayaan rakyat akan dibalas dengan tindakan tegas dalam memperjuangkan setiap isu tempatan.
Tambahnya, isu-isu asas yang memberi kesan langsung kepada keselamatan dan kesejahteraan penduduk tidak akan dipandang ringan, sebaliknya bakal diberi perhatian segera.
"Antara isu yang dibangkitkan ialah permohonan pemasangan lampu jalan yang masih belum dilaksanakan walaupun telah dibuat sejak empat tahun lalu.
"Saya mendengar sendiri suara rakyat dan mengharapkan sokongan serta kepercayaan masyarakat untuk bersama-sama membawa perubahan yang lebih baik buat DUN Pertang," katanya dipetik laporan media.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan mendalam atas sambutan hangat yang diterima daripada penduduk sepanjang siri kempen berjalan.
"Setiap tangan yang disalam, setiap suara yang didengar, dan setiap doa yang diiringi menjadi amanah untuk kami terus berjuang. Insya-Allah, kami akan terus turun padang, mendekati rakyat, dan membawa suara masyarakat DUN Pertang," tambah Mohd Umry.
Pada PRN kali ini, Mohd Umry berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang, Datuk Seri Jalaluddin Alias daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus daripada Bersatu.




Comments