Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Kewangan yakin pertumbuhan ekonomi negara mampu dicapai di antara 4.0 hingga 5.0% berbanding 3.7% tahun lalu.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keyakinan itu dizahirkan melihat kepada petunjuk ekonomi dalam negara yang semakin mengukuh sejak kebelakangan ini.
"Eksport telah menunjukkan pemulihan kukuh sejak Januari 2024 meningkat 8.7% selepas menguncup selama 10 bulan sebelum ini.
"Selain itu, prospek pelaburan sangat baik tahun lalu apabila negara mencapai rekod tertinggi pelaburan dalam sejarah iaitu RM 329.5 bilion," katanya menerusi sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai petunjuk prestasi ekonomi negara ketika ini susulan penurunan prestasi ringgit.
Selain itu katanya, penurunan kadar pengangguran dan inflasi menunjukkan perkembangan ekonomi negara dalam keadaan baik.
"Kadar inflasi menurun 1.6% bagi suku keempat tahun lalu berbanding 2.0% suku ketiga, ia menunjukkan kadar terendah di Asia.
"Manakala, kadar pengangguran pula terus menurun kepada 3.3% bagi tahun yang sama," ujarnya.
Oleh itu, Amir berkata kementerian pada ketika ini akan terus melipat gandakan usaha memudah cara peniagaan kepada pelabur luar bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.
"Usaha ini akan memberi kesan baik kepada pertumbuhan negara disamping dapat memperkukuhkan prestasi ringgit," ujarnya lagi.
Comments