top of page

MN Holdings raih kontrak RM122.7 j bangunkan infrastruktur kuasa pusat data

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 19
  • 1 min read

Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh
Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh

Oleh: Helmi Foad


MN Holdings Berhad meraih kontrak bernilai RM122.7 juta menerusi anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn Bhd (MNUE) bagi pembekalan dan pemasangan peralatan pencawang untuk projek pusat data di Semenanjung Tengah dan Selatan Malaysia.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MN Holdings berkata MNUE menerima empat Surat Pelantikan (LOA) daripada pelanggan antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan terlibat dalam pembinaan serta perundingan projek kejuruteraan kemudahan teknologi maklumat.


Identiti pelanggan tidak didedahkan kerana tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan.


Di bawah kontrak berkenaan, MNUE akan melaksanakan pembekalan, penghantaran, pemasangan dan pentauliahan transformer kuasa serta peralatan dan sistem berkaitan bagi menyokong operasi pelbagai kemudahan pusat data.


Projek dijadualkan bermula Januari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2027.


Anugerah kontrak itu mengukuhkan lagi kedudukan MN Holdings dalam segmen pusat data yang semakin berkembang, didorong oleh permintaan tinggi terhadap infrastruktur kuasa yang stabil dan berkapasiti besar sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital di Malaysia, kata firma itu.


Selepas mengambil kira kontrak terbaharu ini, buku pesanan kumpulan meningkat kepada kira-kira RM918.1 juta, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh sepanjang tempoh pelaksanaan projek.


Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan.


Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh berkata kontrak tersebut mencerminkan permintaan berterusan untuk infrastruktur kuasa berkapasiti tinggi bagi menyokong pembangunan pusat data.


"Anugerah ini mengukuhkan lagi buku pesanan kami dan kedudukan MN Holdings dalam segmen pusat data, di mana kebolehpercayaan kuasa dan keupayaan pelaksanaan adalah kritikal," katanya dalam kenyataan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page