top of page

Misi GSF ke Gaza: Semua SMKA seluruh negara laksana solat hajat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 1
  • 1 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Semua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di seluruh negara akan melaksanakan solat hajat untuk misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) memaklumkan, inisiatif itu diadakan setiap hari sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap konvoi bantuan yang kini semakin menghampiri zon berisiko tinggi sebelum sampai ke pesisir Gaza.


"Seluruh rakyat sangat mengharapkan kejayaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.


"Tiada apa yang lebih penting pada ketika ini selain untuk bersolidariti dan berdoa agar konvoi ini selamat sampai serta misi kemanusiaan yang direncana berjaya," katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.


Misi GSF yang membawa puluhan kapal bantuan antarabangsa kini berlayar menuju Gaza dengan tujuan memecahkan sekatan Israel serta menghantar bekalan perubatan dan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.


Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi terbesar tersebut. Konvoi 45 kapal dijangka memasuki Zon Merah pada Rabu jam 7 petang waktu Malaysia.


Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby menyeru rakyat Malaysia terus mendoakan kejayaan misi tersebut.


Beliau memaklumkan, pihak sekretariat SNCC sedang mengambil langkah bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang pelayaran.


"Laluan yang kita pilih ini laut antarabangsa jadi dari sudut perundangan kita berada di atas laluan benar. Justeru, apa sahaja dari pihak rejim, dunia akan bangkit dan dan bersama dengan misi yang bersejarah ini," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page