Misi Diplomasi MADANI di Kenya capai matlamat — PM Anwar
- Suara Keadilan

- 18 minutes ago
- 2 min read

Misi Diplomasi MADANI di Nairobi, Republik Kenya berjaya mengeratkan hubungan Malaysia dan negara Afrika - rantau yang sedang berkembang pesat ekonomi - untuk sebarang kerjasama pelbagai bidang pada masa hadapan.
Menurut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, lawatan rasmi singkat itu telah mencapai objektif penting dalam membuka ruang kerjasama baharu antara kedua dua negara.
"Secara keseluruhan, misi singkat Diplomasi MADANI di Nairobi ini telah mencapai matlamat dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai sektor strategik antara Malaysia dan Republik Kenya," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Dr William Samoei Ruto serta Kerajaan Kenya atas layanan mesra sepanjang kunjungan tersebut.
Sebelum berlepas pulang, Anwar menghadiri Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Afrika 2025 yang mana beliau menegaskan bahawa Malaysia dan negara-negara Afrika berkongsi sejarah perjuangan serta keyakinan bahawa pendidikan adalah asas kemajuan bangsa.
"Malaysia dan Afrika berkongsi sejarah perjuangan melawan penjajahan, kecekalan dan keyakinan bahawa pendidikan adalah wahana mencapai keadilan, maruah insan dan kemajuan bangsa," ujarnya.
Anwar menambah bahawa pendidikan bukan sekadar urusan komersial, tetapi merupakan pelaburan moral dalam membentuk rakyat yang berakhlak dan berjiwa.
"Kita sepakat bahawa pendidikan tidak semata transaksi komersial tetapi merupakan pelaburan dalam aspek moral dalam membentuk insan yang berakhlak dan punyai jiwa serta nilai yang mendalam. Dalam dunia yang sentiasa bergerak laju, kerjasama di bidang pendidikan, inovasi, serta AI mesti diperkasa agar generasi muda Afrika dan Asia mampu menongkah arus dan mencipta masa depan yang bermakna," katanya.
Malaysia, menurut beliau, komited memperkukuh pertukaran bakat, jalinan universiti dan akses pendidikan yang inklusif, khususnya bersama rakan-rakan dari Kenya serta seluruh benua Afrika.
Sebelum itu, dalam siri pertemuan rasmi, PM dan Presiden Ruto turut menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting yang bakal merancakkan hubungan dua negara, termasuk Kerjasama dalam Bidang Pelancongan; Perjanjian Perkhidmatan Udara Dua Hala; Kolaborasi antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Nairobi City County; dan Memorandum Persefahaman antara NCCIM dan KNCCI.
Anwar menyatakan kesemua dokumen tersebut mencerminkan komitmen Malaysia–Kenya dalam membina hubungan yang lebih progresif dan saling melengkapi.
"Kami menegaskan iltizam untuk memastikan semua kerjasama yang dimeterai ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keberkesanan, agar manfaatnya dapat dirasai secara nyata oleh rakyat Malaysia dan Kenya," katanya.
Tambah PM, beliau akan memastikan hubungan yang telah terjalin lebih enam dekad itu diperluas selaras dengan semangat persahabatan dan kerjasama antarabangsa.









Comments