top of page

'Minta penjelasan mengenai dana asing bukan satu serangan'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Pravin Murali (gambar) menyifatkan usaha menuntut penjelasan terhadap isu berkepentingan awam sebagai sebahagian daripada tanggungjawab demokrasi yang tidak wajar dilihat sebagai satu bentuk ancaman atau serangan politik.


Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menolak peranan masyarakat umum dalam sebuah negara demokrasi malah, masyarakat mempunyai tempat yang penting dalam memperkukuh semak imbang, kebebasan bersuara dalam pembangunan negara.


Namun ujarnya, kebebasan bersuara juga harus berjalan seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban.


"Apabila wujud persoalan yang menyentuh kepentingan rakyat, ketelusan dana, kedaulatan negara dan kestabilan demokrasi, maka adalah wajar untuk perkara tersebut dijawab dan diperjelaskan secara terbuka kepada rakyat.


"Menuntut penjelasan bukan satu serangan, bertanya bukan satu ugutan dan mengangkat persoalan demi kepentingan awam bukan bermaksud menafikan demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau merujuk kepada isu berkaitan dana asing yang dibangkitkan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan tertentu yang sebelum ini tersebar kepada umum.


Dalam pada itu, Pravin berkata, sebagai Naib Ketua AMK Malaysia, beliau menzahirkan sokongan penuh terhadap Kamil dalam mempertahankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan hak untuk menuntut penjelasan terhadap sebarang perkara yang menyentuh kepentingan awam.


Dalam hal ini beliau percaya Kamil telah mengambil pendirian atas dasar tanggungjawab politik dan kepentingan rakyat, bukan atas niat untuk menyerang mana-mana pihak secara tidak adil.


"Sekiranya mahkamah menjadi pilihan sebagai ruang untuk menyelesaikan perkara ini,maka proses tersebut harus dihormati sepenuhnya.


"AMK akan terus mempertahankan ruang demokrasi yang sihat. Ruang yang membenarkan rakyat untuk bersuara dan menuntut penjelasan secara bertanggungjawab," katanya lagi.


Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Kamil mendesak pihak berkuasa agar menyiasat dakwaan dana asing berkemungkinan digunakan untuk aktiviti berkaitan gerakan politik tertentu termasuk operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan, yang didakwa bertujuan membentuk persepsi serta naratif kebencian terhadap kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik negara.


Desakan itu timbul susulan laporan polis berhubung sebuah video tular yang mendakwa dana asing bernilai lebih RM1.5 juta telah disalurkan oleh sebuah kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) kepada sebuah NGO di Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page