top of page

Minta luluskan projek: PM dedah surat EXCO Kerajaan T'ganu, Kelantan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

PM mendedahkan surat EXCO Kerajaan Kelantan dan Terengganu yang meminta kelulusan projek rasmi
PM mendedahkan surat EXCO Kerajaan Kelantan dan Terengganu yang meminta kelulusan projek rasmi

Oleh: Akmal Manaf


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan terdapat dua surat berasingan daripada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Terengganu dan Kelantan yang memohon kelulusan rasmi bagi projek tertentu.


Anwar menyifatkan, kedua-dua surat itu jelas berbeza dengan surat sokongan yang dihantar oleh mantan Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang hanya memohon pertimbangan.


"Surat itu ada, kalau nak minta boleh… (tapi) saya tak mahu lah, biar ada siasatan. Imej imej (apa). Ini surat ada. Saya boleh hantar (ke Datuk Rosol) untuk baca.


"Saya di Parlimen, saya bertanggungjawab. Ini surat Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu. Nak tahu lagi ke? Nyata surat ini ada," katanya ketika sesi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Pendedahan itu dibuat oleh Anwar selepas diasak Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta mendedahkan nama pihak yang mewakili kerajaan Terengganu yang dianggap boleh mencalarkan imej.


Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, beliau mendedahkan surat berkenaan hanya untuk menunjukkan pembangkang tidak konsisten, iaitu yang mana kes meminta kelulusan rasmi dianggap tiada isu manakala satu lagi kes yang hanya memohon pertimbangan, dijadikan isu besar.


"Jadi saya nak tegaskan, surat minta pertimbangan atau perhatian itu bukan jadi masalah, cuma sekiranya diandaikan mempengaruhi itu (jadi) masalah.


"Dalam kes sekarang ini, Datuk Seri Shamsul Iskandar disiasat SPRM. Apa lagi yang nak dibuat? Orang itu (sudah) digari dengan memakai baju oren.


"Kalau saya ada pengaruh, banyak kes-kes berat pun mungkin tidak digari. Adakah masih tidak puas hati? Saya tidak menegur SPRM sepatah pun dan telah memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk menjalankan siasatan.


"Soal melibatkan kenapa tidak dipecat (Shamsul) lebih awal? Saya nak tegaskan di sini. Tuntut la bagaimana (cara sekali pun), kita tidak pecat pegawai kerana tulis surat minta dipertimbangkan," tegas beliau lagi.


Terdahulu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin [PN-Masjid Tanah] meminta Anwar memberi jaminan siasatan SPRM terhadap mantan Setiausaha Politik Kanan beliau dijalankan dengan bebas tanpa campur tangan politik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page