Minit mesyuarat 'bocor' jelas PM tidak terlibat proses lantik ketua hakim
- Suara Keadilan

- Jul 16, 2025
- 1 min read

KEADILAN Cabang Kuala Langat yakin bahawa proses pelantikan Ketua Hakim Negara dijalankan mengikut prosedur yang betul berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Cabangnya, Mohd Afiq Mohd Tuniman (gambar) berkata pihaknya meletak sepenuh keyakinan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim konsisten menjunjung kedaulatan undang-undang serta prinsip pemisahan kuasa seperti yang dijanjikan.
"Minit mesyuarat yang 'bocor' baru-baru ini, didakwa milik Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), jelas menunjukkan Perdana Menteri tidak terlibat dalam sebarang bentuk campur tangan politik terhadap institusi kehakiman negara.
"Beliau telah menunjukkan tauladan yang tegas dalam memastikan kebebasan badan kehakiman tidak digugat atau dipengaruhi mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata begitu sebagai mengulas tindakan pihak tidak bertanggunjawab yang cuba memanipulasi kelewatan pengumuman rasmi pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk menyerang Perdana Menteri.
Tambah Mohd Afiq, percubaan untuk bermain politik dalam isu lantikan Ketua Hakim Negara bukan sahaja akan mengelirukan rakyat, lebih parah ianya bakal mencemar kredibiliti badan perundangan tertinggi negara.
"Integriti dan ketelusan institusi kehakiman adalah kunci utama dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan terus kekal utuh," tegasnya.
Hari ini, Majlis Raja-Raja dijangka akan mengumumkan pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman itu, sekali gus menamatkan polemik isu berkenaan.









Comments