MIC mahu tinggalkan BN jangan kait dengan pemimpin KEADILAN - Jonathan Vela
- Suara Keadilan
- Aug 31
- 2 min read

Isu MIC yang mengusulkan dalam beberapa mesyuarat agung tahunan parti di peringkat negeri, dan terbaharu di Wilayah Persekutuan ingin meninggalkan BN tidak perlu disekalikan dengan kritikan ke atas pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan lain.
Menurut Naib Ketua Cabang KEADILAN Bandar Tun Razak, Jonathan Vela (gambar), tindakan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, S Rajah yang mengkritik keputusan kerajaan memberi tanggungjawab kepada pemimpin KEADILAN, Datuk Seri R Ramanan dalam mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek yang melibatkan kuil dan sekolah Tamil tidak wajar ditimbulkan.
"Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan diberikan tanggungjawab menjaga hal komuniti India termasuk Kuil dan Sekolah Tamil disebabkan gaya kepimpinanya yang sentiasa memberikan perkhidmatan yang cemerlang.
"Ramanan membuktikan dirinya dengan hasil kerja. Dari MITRA sehingga kini sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau tidak berhenti berkhidmat untuk masyarakat India.
"Ini adalah rekod kepimpinan yang nyata bukan sekadar di atas kertas atau di platform media sosial," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menasihatkan MIC agar tidak memainkan isu dalaman dan kritikan ke atas BN secara bercampur aduk mempertikai polisi kerajaan.
MIC juga, katanya perlu bermuhasabah apakah kejayaan parti itu setelah diberi peluang selama 60 tahun menjaga masyarakat India.
"Kita tegaskan sekali lagi, jangan sentuh kepimpinan kami. Kami tidak pernah menyerang kepimpinan anda, dan kami minta anda selesaikan masalah anda dengan Zahid (Pengerusi BN), bukan menjadikan KEADILAN atau PMX sebagai kambing hitam," katanya.
Pelantikan mana mana pemimpin mewakili masyarakat India, tegas Jonathan Vela adalah kerana kelayakan, bukannya sekadar kuota parti.
"Pelantikan Ramanan adalah demi rakyat, bukan demi parti. Keberanian, ketelusan dan gaya kepimpinan berorientasikan hasil (“results-oriented”) yang beliau tunjukkan adalah apa yang komuniti India perlukan hari ini.
"Jangan sesekali cemburu, kita perlu bersatu menjamin harapan komuniti India," katanya lagi.
Comments