Mesyuarat Tergempar OIC: Malaysia kecam keras rancangan Israel
- Suara Keadilan

- Aug 26
- 1 min read

Malaysia menegaskan pendirian keras menentang rancangan rejim Zionis Israel untuk menawan Gaza melalui kekuatan ketenteraan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) yang mewakili negara pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah pada Isnin berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya cubaan mengekalkan pendudukan haram ke atas bumi Palestin.
"Malaysia kekal teguh memperjuangkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Gaza dan Tebing Barat harus kekal dalam negara Palestin, ia tidak boleh dipisahkan.
"Malaysia menolak sebarang tindakan penjajahan, penempatan haram dan pengusiran penduduk oleh rejim Zionis," katanya dipetik.
Pada mesyuarat itu Mohamad Hasan menegaskan, pelan “Greater Israel” yang digerakkan rejim Zionis jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau turut menyuarakan rasa kesal kerana rakyat Palestin terus dinafikan hak menentukan hala tuju negara sendiri, selain mengecam taktik Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang terhadap penduduk Gaza.
"Peranan Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) tidak boleh diganti. Malaysia akan terus menyokong gerakan ini.
"Israel harus membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa halangan, dengan diketuai PBB," tegasnya.
Mohamad Hasan menambah, dunia dan OIC mesti bertindak secara bersepadu mendesak gencatan senjata kekal, membuka sekatan bantuan kemanusiaan, serta menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.









Comments