Mesyuarat pertama Biro Politik KEADILAN bincang PRN Sabah
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 2 min read

Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025/2028 yang diadakan petang tadi membincangkan mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurut kenyataan dikeluarkan Biro Politik, mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh timbalan presiden dan naib-naib presiden.
Antara agenda utama adalah membincangkan mengenai pelaksanaan dasar-dasar yang akan diperkenalkan pihak eksekutif beserta impak terhadap kos sara hidup rakyat.
"Mesyuarat dimulakan dengan mengambil kira siri pelaksanaan dasar-dasar yang bakal dibawa oleh pihak eksekutif beserta impak terhadap kos sara hidup rakyat.
"Langkah-langkah susulan turut diperhalusi bagi memastikan manfaat kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan parti.
"Kedua, perbincangan turut menjurus kepada PRN Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi. Tumpuan parti pada ketika ini adalah memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRN Sabah," kata kenyataan itu.
Khusus PRN, timbalan presiden serta semua naib presiden telah diberikan tugasan tertentu bagi memastikan kemenangan parti dan rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Madani.
Menurut kenyataan itu lagi, demi kelangsungan persediaan PRN, mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan (MPN) Negeri Sabah sementara menunggu pelantikan barisan kepimpinan MPN yang baharu.
"Dalam konteks yang sama, saudara Peto Galim juga akan meneruskan tanggungjawab beliau sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Negeri (JPRN) Sabah.
"Selain itu, mesyuarat turut membuat ketetapan bahawa Dr Fuziah Salleh dan William Leong akan terus menjalankan tugas masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung, sehingga barisan kepimpinan baharu dilantik dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang akan diadakan kelak," kata kenyataan itu lagi.
Mesyuarat MPP yang diadakan petang tadi telah diumumkan oleh presiden pada Kongres Nasional KEADILAN di Johor Bahru pada 24 Mei lalu.
Mesyuarat tersebut fokus untuk menguatkan strategi KEADILAN menghadapi PRN Sabah yang dijangka diadakan selepas Ogos ini.