Kesatuan para bekas menteri dan kumpulan pemimpin yang terkesan akibat kempen perangi rasuah Perdana Menteri ke 10 tidak akan menggentarkan Kerajaan Perpaduan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan gentar biar pun ada pemimpin yang bersekongkol dengan pembangkang telah membeli kesemua ruangan iklan dalam media arus perdana sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini untuk menyiarkan iklan yang menjatuhkan imej kerajaan di mata rakyat.
Katanya, perbuatan seumpama itu menunjukkan para 'kaki sakau' tesebut amat terdesak untuk berhadapan siasatan dan pengembalian kekayaan yang mereka songlap kepada rakyat.
"Itu sebabnya tauke berbilion (harta) ini berkumpul (bersama) Mahathir, Muhyiddin disokong oleh Pas.
"Ada yang bersusah payah beli media. Ini salah satu media dah dibeli semua (ruang) iklan sepanjang pilihanraya. Wang yang banyak sekali. Apa kita peduli.
"Kamu fikir itu menakutkan kita, kamu salah orang.
"Saya sebagai PM saya harus takut? Kamu salah teka. Selagi saya ada kuasa, saya akan lawan mereka sekeras kerasnya kerana kita mesti selamatkan negara ini," kata Anwar dalam ceramah Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang, malam tadi.
Pendedahan PM mengenai pembelian media itu adalah jawapan kepada rakyat yang tertanya tanya mengapakah akhbar dan media arus perdana menjelang PRN begitu kritikal dan sesetengah berita seolah olah dibuat oleh tentera siber PN, bukannya media yang bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Anwar mengulangi sekali lagi gesaannya agar pemimpin yang pernah berkuasa dan menyelewengkan kekayaan negara untuk mengembalikan semula harta itu kepada rakyat.
Katanya, kesalahan peribadi para pemimpin itu terhadapnya boleh dimaafkan tetapi kesalahan merompak harta rakyat tidak boleh dibiarkan.
"Kalau betul nak bela Melayu, orang dok curi berbilion ringgit ini bagi balik.
"Saya ulang cabaran saya, bagi balik kepada rakyat. Duit yang diambil secara tak sah mesti beri balik kepada rkayat
"Kamu pukul saya, saya maafkan, maki hamun, saya maafkan. Tetapi curi duit negara kamu kena pulang balik kerana saya akan ekori kamu tanpa kompromi," katanya.
Dalam ceramah itu juga, Anwar menekankan bahawa pelabur asing mula melihat Malaysia telah kembali ke landasan ekonomi dan pentadbiran yang betul apabila tokoh tokoh ekonomi digital dunia mula menunjukkan minat melabur.
Antaranya tokoh ekonomi terkaya di dunia Elon Musk yang mahu menjadikan Malaysia hab pemasaran bagi produk syarikat beliau di Asia Tenggara.
Begitu juga katanya, hartawan terkaya di Kong Kong, Richard Lee yang sedia untuk melabur di Malaysia.
"Aramco, syarikat minyak dan gas tebesar dunia yang berpengkalan di Arab Saudi datang dan beritahu, saya nak maklumkan kepada PM kami Aramco buat keputusan untuk mengembangkan pelaburan kami di Johor yang menjadikannya hab di Asia.
"Agong maklum kepada saya (putera mahkota Saudi) Mohamad bin Salman beritahu dia (baginda) Saudi setuju jadikan Malaysia hab pelaburan bagi Asia Tenggara," katanya.
Dengan perkembangan baik itu, kata anwar, Malaysia akan kembnali menjadi gergasi ekonomi di Asia Tenggara dalam beberapa tahun akan datang
Oleh itu, amat penting politik Malaysia ditadbir oleh pemimpin yang matang dan berinovasi serta tidak hanya beretorik tanpa penghujung sebagaimana kualiti pemimpin pembangkang PN.
Comments