Merdeka tiada makna jika rasuah, perpecahan masih belenggu rakyat – PM
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) memberi peringatan bahawa kemerdekaan negara tidak akan membawa makna sekiranya rakyat masih dibelenggu rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta perpecahan dalam masyarakat.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemerdekaan bukan sekadar meraikan sambutan tahunan, sebaliknya menuntut keberanian rakyat untuk mempertahankan perpaduan, keadilan dan integriti demi masa depan negara.
Tambah Presiden KEADILAN itu, negara Malaysia dibina hasil kerjasama masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan yang perlu terus hidup dalam suasana saling menghormati.
"Negara ini dibina bersama. Sebab itu kita perlu menjaga perpaduan, menghormati antara satu sama lain dan memastikan keadilan diberikan kepada semua.
"Kita tidak boleh membina negara dengan kebencian dan perpecahan," katanya menerusi ucapan di Program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat Madani 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Pulau Pinang, pada Sabtu.
Sementara itu tambahnya, tadbir urus yang bersih, amanah dan berintegriti penting bagi memastikan kekayaan negara dikembalikan kepada rakyat, khususnya melalui pendidikan serta penyediaan peluang yang lebih baik kepada generasi muda.
Justeru tegasnya, kerajaan perlu berani mengambil tindakan terhadap sebarang bentuk rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara.
"Duit negara mesti digunakan untuk rakyat, untuk pendidikan, untuk mahasiswa dan untuk membina masa depan yang lebih baik," tambahnya.
Beliau turut menegaskan, bahawa asas Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam, bahasa Melayu, keistimewaan Bumiputera dan kedaulatan Raja-Raja Melayu perlu terus dipertahankan
Namun, perkara itu jelasnya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan kepelbagaian bahasa dan budaya masyarakat lain.




Comments